Seludup ketum: ‘Yang kaya tauke ladang’ - Utusan Malaysia

Seludup ketum: ‘Yang kaya tauke ladang’

PENGUATKUASAAN ketat dilakukan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mengambil jalan mudah menjana pendapatan sejak sekian lama mendorong penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini terlibat dengan kerja-kerja penyeludupan daun ketum.

Di sempadan negeri ini, khususnya di Padang Besar dan Wang Kelian, aktiviti penyeludupan lebih tertumpu kepada daun ketum berbanding barangan subsidi.

Kebanyakan penduduk di kawasan sempadan yang terlibat dengan kerja-kerja penyeludupan daun ketum itu berumur dalam lingkungan 20 sehingga 30-an yang menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan dan sudah sebati dengan kehidupan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, aktiviti penyeludupan ketum sudah berlarutan lama sejak daun itu dikuatkuasakan sebagai akta racun pada tahun 1950-an.

Katanya, aktiviti seludup ketum sememangnya menjadi sumber rezeki khususnya penduduk di sempadan ini.

“Namun, pendapatan mereka ini tidaklah terlalu tinggi sekadar cukup-cukup makan sahaja. Mungkin pendapatan hanya sekitar RM50 sahaja bagi beberapa trip perjalanan membawa daun berkenaan ke negara jiran. Itulah yang menjadi sumber pendapatan golongan ini.

“Kebanyakan mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan ketum ini tidak mempunyai pekerjaan dan bagi mencari jalan mudah menjana pendapatan, mereka melakukan kerja-kerja menyeludup ini.

“Yang kaya adalah pemilik ladang (ketum) yang jika dahulu mampu menjana jutaan ringgit. Penyeludup-penyeludup yang melakukan kerja-kerja ini tidaklah mampu menjana pendapatan yang terlalu lumayan,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, aktiviti penyeludupan sudah dianggap sebati, malah merupakan sumber rezeki utama buat penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Ada dalam kalangan penduduk di sempadan yang sudah terdedah dengan aktiviti itu sejak berusia 10 tahun dan melalui hasil itulah mereka gunakan untuk menyara keluarga sehingga berjaya membina kehidupan lebih baik dan ada juga yang memperturunkan pekerjaan itu kepada anak-anak.

Difahamkan, individu terlibat mampu menjana pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan bergantung kepada kejayaan mampu membawa barangan subsidi itu ke pangkalan haram bagi dijual ke negara jiran.

Tambah Surina, sejak Thailand ‘menghalalkan’ ketum, golongan penyeludup sudah tidak mampu lagi menjana pendapatan lumayan memandangkan penduduk di negara itu sudah menanam sendiri pokok berkenaan.

Malah katanya, penguatkuasaan yang ketat di sempadan lebih menyukarkan mereka melakukan aktiviti penyeludupan ini.

“Bagi penduduk sempadan mereka sudah biasa dengan kerja-kerja menyeludup ketum ini dan sudah menjadi sumber pendapatan.

“Di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Perlis ini, lebih tertumpu kepada ketum, manakala barangan subsidi seperti minyak masak dan sebagainya tidak terlalu menjadi tumpuan penyeludup ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya