PETALING JAYA: Selangor terpaksa melupakan khidmat pemain import, Safuwan Baharudin untuk tempoh yang panjang selepas pemain kelahiran Singapura itu mengalami kecederaan di bahagian otak (mild traumatic brain injury).
Safwan diberi rehat yang panjang selepas kata sepakat Jabatan Perubatan Kelab Selangor FC serta khidmat nasihat beberapa pakar bedah saraf bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada proses pemulihan dan rehabilitasi kecederaan yang dialaminya.
“Pada awal Mei 2021, Safuwan telah mengalami kecederaan ‘cerebral concussion’ semasa menentang PJ City FC ekoran hentakan di kepala selepas bertembung dengan pemain lawan dimana beliau terpaksa dikeluarkan pada waktu itu bagi mendapatkan rawatan sepenuhnya.
“Safuwan kembali mengikuti aktiviti pasukan seperti biasa selepas melalui fasa rehabilitasi dan sepanjang tempoh selepas beliau pulih daripada kecederaan pertama, dia telah mengalami beberapa lagi siri kecederaan di bahagian kepalanya dalam saingan liga dan sesi latihan.
Pemain Selangor FC kelahiran Singapura ini bakal diberi rehat yang panjang melalui kata sepakat Jabatan Perubatan Kelab Selangor FC serta berdasarkan khidmat nasihat beberapa pakar bedah saraf.
Baca artikel penuh melalui pautan yang disediakan ini➡️ https://t.co/GXivHFkdjF pic.twitter.com/PrvXXQDUGC
— Selangor FC (@selangorfc) July 15, 2022
“Baru-baru ini, Safuwan sekali lagi mengalami pelanggaran di bahagian kepala yang sama semasa perlawanan menentang Sabah FC, ia sekaligus memberi kesan terhadap kecederaan kepalanya sebelum ini,” kata Selangor FC dalam kenyataan di laman web pasukan.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil diagnosis dan berdasarkan pemeriksaan klinikal Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dilakukan sejurus selepas perlawanan menentang Sabah FC, Safuwa disahkan mengalami kecederaan di bahagian otak atau spesifiknya ‘mild traumatic brain injury’.
Berikutan keputusan pemeriksaan MRI itu, Jabatan Perubatan Kelab Selangor FC dan beberapa pakar bedah saraf telah bersetuju bahawa Safuwan perlu menjalani tempoh rehat yang lama bagi membolehkan beliau melalui program pemulihan yang sepatutnya sebelum kembali ke program rawatan pemulihan bergraduat.
“Kehilangan Safuwan buat tempoh ini sememangnya bakal dirasai oleh pasukan kerana beliau merupakan pemain berkepemimpinan tinggi yang telah banyak membantu pasukan dan para pemain terutamanya pemain-pemain muda di dalam dan luar padang.
“Selangor FC berharap agar semua pihak dapat memberi ruang kepada beliau untuk melalui proses pemulihan dengan baik dan berdoa agar beliau kembali pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











