Sekolah 100 tahun jadi rumah pelarian

Sekolah 100 tahun jadi rumah pelarian

AISHAH Ahmad tinggal bersama anak-anaknya di salah sebuah ruang bilik darjah Sekolah Qutayba al-Bahili dekat Al-Bab, Syria. -UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AL-BAB, SYRIA: Sekolah ini pernah terkena ‘tempias’ sera­ngan bom pada 2017 dan sejak itu, ia tidak lagi berfungsi sebagai pusat pendidikan untuk anak-anak Syria yang me­netap di Al-Bab, sebuah bandar yang terletak lebih 400 kilometer da­ri Damsyik.

Tinjauan Utusan Malaysia bersama anggota Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave dike­tuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar bersama Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam mendapati sekolah berusia 100 tahun itu kini bertukar menjadi rumah pelarian yang didiami enam keluarga.

Biarpun kebanyakan ruang di sekolah tersebut dipenuhi runtuhan struktur bangunan yang diperbuat daripada batu, ia menjadi ‘syurga’ bagi 30 orang menjalani kehidupan dan berlindung daripada pelbagai ancaman termasuk cuaca panas ketika ini.

Demikian keadaan semasa Sekolah Qutayba al-Bahili yang menjadi ‘saksi bisu’ betapa perang dan konflik di Syria memusnahkan segala-galanya termasuk masa depan anak-anak muda Syria.

Aishah Ahmad, 25, mengembara sejauh lebih 300 kilometer dari Deir Ez-Zor ke Al-Bab bersama suami dan akhirnya menjadikan salah satu ruang di sekolah tersebut sebagai rumah mereka sekeluarga.

Aishah lari ke sini selepas kediamannya di Deir Ez-Zor rosak akibat serangan bom. Dia kini menetap bersama lima anak berusia setahun hingga 11 tahun.

“Sudah lima tahun saya sekeluarga menetap di sini. Apa yang kami boleh buat, ini sahaja tempat yang boleh kami menetap untuk keselamatan keluarga,” katanya.

Di sebelah ruang kediamannya itu, Nasr Idris, 40, juga dari Deir Ez-Zor turut menjadikan sebuah kelas sebagai tempat tinggalnya bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia lima tahun.

“Saya juga sudah lima tahun di sini,” jelasnya sambil tak henti-henti mencium duit sumbangan diserahkan Mohd. Zin tanda bersyukur atas bantuan berkenaan.

Ketika Utusan Malaysia mula keluar daripada ruang rumahnya itu, Nasr kelihatan sedikit mengalirkan air mata, betapa riak wajahnya amat memerlukan sumbangan wang tunai, mungkin untuk per­belanjaan hariannya sekeluarga.

MOHD. Zin Kandar (empat dari kanan) dan anggota Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave bersama kambing yang akan disembelih untuk sedekah dan akikah sumbangan rakyat Malaysia serta diagih-agihkan kepada penduduk miskin di Al-Bab, Syria.

‘PAK CIK, TOLONG BELI BARANG SAYA JUAL’

Di depan Sekolah Qutayba al-Bahili, ketika Utusan Malaysia merakamkan gambar ke­adaan sekolah tersebut, datang seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Akram Ahmad berta­nyakan kenapa ramai orang berada di sekolah itu.

Apabila dikatakan dari Malizia (Malaysia), Akram terse­nyum gembira dan teruja untuk melihat apa yang dilakukan anggota misi kemanusiaan tersebut.

Akram sempat memberitahu dia datang dari Idlib yang terletak sejauh lebih 100 kilometer dari Al-Bab.

“Pak Cik, tolong beli barang yang saya jual?” Soalnya yang mahu membantu bapa, Ahmad dan ibu, Hansa meniaga.

Akram kemudiannya me­nunjukkan kotak kecil berupa pil menurunkan berat badan. Dia antara ratusan ribu kanak-kanak yang mungkin terpaksa melupakan soal pendidikan dengan bekerja atau berniaga lantaran kehidupan yang sukar ekoran konflik berpanjangan Syria.

Kawasan Idlib masih lagi berdepan situasi tegang de­ngan kebuluran menjadi ancaman terburuk konflik 11 tahun Syria.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Idlib masih berstatus bahaya dan memberi kesan kepada keadaan kemanusiaan bagi mereka yang tinggal di kawasan populasi tinggi, kebanyakan mereka hidup sebagai gelandangan dan di kem-kem pelarian.

Roti menjadi sangat mahal, dengan perang Russia-Ukraine mengehadkan eksport bijirin ke Syria.

‘SYUKUR KAMI DAPAT MAKAN’

Di sebuah kem pelarian di atas bukit dekat sini, cuaca panas bagaikan tidak dipedulikan sekelompok pelarian yang membina khemah-khemah secara berselerak.

Ketika misi kemanusiaan ingin menyerahkan bantuan pek makanan untuk keluarga pelarian di kawasan itu, Mamduih Yaalush, 60, berlari-lari menemui anggota misi sambil mengucapkan rasa syu­kur kerana dapat makanan.

Pek makanan sumbangan MyCare-Ecosave itu adalah nasi Arab dan ayam.

MAMDUIH Yaalush menetap di kawasan khemah pelarian di atas bukit dekat Al-Bab, Syria.

Mamduih berasal dari Hama, sejauh 180 kilometer dari Al-Bab dan terpaksa berteduh di kem pelarian itu, sama seperti pelarian-pelarian lain. Mereka berdepan nasib sama, rumah di kawasan asal mereka dibom.

Mamduih seperti enggan memberitahu mengenai ahli keluar­ganya dan mengharapkan perang dan konflik ini segera berakhir, bagi membolehkannya pulang ke kampung halaman.

MISI KEMANUSIAAN DISERBU ‘PEMINAT’

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bandar Al-Bab di utara Syria yang dikuasai Turkiye banyak menyaksikan kesan-kesan serangan bom. Banyak rumah yang tidak lagi selamat untuk diduduki kerana terkena serpihan bom.

Namun, ada beberapa rumah dan sekolah yang ditunjukkan oleh Pengurus Ataa Relief Bahagian Al-Bab, Ihsan Alkeilani yang musnah sepenuhnya, dibom pihak tidak diketahui.

Ataa Relief merupakan sebuah pertubuhan kemanusiaan yang berpangkalan di Turkiye dan memiliki sembilan pejabat serta me­ngendalikan beberapa projek termasuk Perkampungan Ataa untuk pelarian di utara Syria.

Bagaimanapun, sektor ekonomi dan perniagaan di Al-Bab dilihat semakin rancak, kedai-kedai dan restoran kembali beroperasi dan banyak masjid dibina semula atau diubah suai selepas menjadi sasaran serangan bom.

PENIAGA menarik troli berisi pisang yang diimport dari Ecuador di sebuah gudang diusahakan penduduk tempatan di kawasan perindustrian Al-Bab, Syria.

Pasar malam di Novotia dan begitu juga dengan sebuah pasar lama dekat sini yang menjadi perhatian utama penduduk mendapatkan barangan keperluan mereka.

Namun ketika anggota misi kemanusiaan berjalan-jalan dan membeli-belah di pasar ber­kenaan, ramai yang begitu teruja untuk mengenali mereka terma­suk Malaysia, rasa seperti selebriti dikerumuni ‘peminat’.

Difahamkan anggota misi tersebut merupakan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang berjalan-jalan pada waktu malam di Novotia, dengan diperhatikan sekumpulan kecil lengkap bersenjata. – UTUSAN

 

  • METRA SYAHRIL MOHAMED yang kini mengikuti Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di Syria
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN