Sakit tulang belakang himpit dada, jantung - Utusan Malaysia

Sakit tulang belakang himpit dada, jantung

ADZMARUDIN Abd. Rahman (kiri) bersama anaknya, Ahmad Darwisy Farhan yang menghidap penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok ketika ditemui di Seremban 2, Seremban. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki yang menderita penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok perlu menjalani pembedahan segera berikutan tu­lang rusuknya telah menghim­pit dada dan jantung.

Adzmarudin Abd. Rahman, 54, berkata, anak bongsunya, Ahmad Darwisy Farhan, 19, perlu menjalani pembedahan de­ngan kos keseluruhan RM31,730 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya bersyukur kerana permohonan bantuan pembedahan daripada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM sebanyak RM18,000 telah diterima dan ditanggung mereka.

“Sebahagian kos pembedahan lagi berjumlah RM13,370 juga telah diluluskan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui surat jaminan (GL) yang dikeluarkan 22 Julai lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Garden Homes, Seremban 2 di sini.

Menurut Adzmarudin, anak­nya yang menyambung pengajian di Pusat Asasi Sains Hayat di Universiti Malaysia Sabah disahkan mengalami masalah tulang bengkok sejak berusia 16 tahun tetapi kebelakangan ini kesakitannya semakin teruk.

“Pembedahan segera perlu dilakukan untuk anak kerana sekarang dia sering mengadu sakit sehingga perlu bergantung pada pil penahan sakit.

“Tulang itu telah menghimpit paru-paru serta jantungnya, daripada air muka dia saya tahu dia selalu menahan sakit selain tidak boleh berdiri dan duduk terlalu lama serta sukar tidur,” katanya yang memberitahu anaknya sedang cuti semester.

Jelasnya, Ahmad Darwisy Farhan dikesan menghidap pe­­nyakit itu ketika membuat pemeriksaan oleh pihak hospital tiga tahun lalu kerana pada mulanya dia mengalami demam, namun imbasan ujian X-ray mendapati tulangnya bengkok.

“Ketika itu, dia belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis, Pahang tetapi keadaanya tidak seteruk sekarang dan tiada ra­watan susulan dibuat,” katanya.

Katanya, dia juga tidak mahu pengajian anaknya yang bakal disambung Oktober depan tertangguh jika pembedahan tidak dijalankan.

Tambahnya, sebelum ini dia berdepan masalah me­ngumpul baki wang RM13,370 kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selepas berhenti kerja sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan pada 2005 selain diisytiharkan muflis.

“Saya perlu memikirkan kos perubatan selepas pembedahan termasuk peralatan sut bantuan sokongan,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan meng­­hubungi Adzmarudin (010-3240040) atau menyalurkan terus ke akaun Maybank bernombor 156114335555 (Ahmad Darwisy Farhan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN