Saifuddin terkejut, sedih Abe parah ditembak

Perdana Menteri, Saifuddin terkejut, sedih Abe parah ditembak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan perasaan amat terkejut atas insiden tembakan ke atas bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pagi tadi.

Menerusi ciapan akaun sosial Twitter, beliau turut menyatakan kesedihan dan simpati apabila dimaklumkan mengenai peristiwa yang menimpa mantan pemimpin terkenal negara tersebut.

“Saya turut mengecam tindakan keji pelaku. Saya berdoa agar Abe segera pulih dan berharap warga Jepun dapat diberikan ketabahan dalam mendepani tragedi duka berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut menzahirkan perasaan sedih atas insiden tembakan ke atas bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di negara maju itu pagi tadi.

Menerusi ciapan akaun sosial Twitter, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai peristiwa yang menimpa mantan pemimpin terkenal negara Asia Timur berkenaan.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia mendoakan agar beliau dapat sembuh kembali dengan segera serta mengharapkan ahli keluarganya diberikan ketabahan mendepani tragedi tersebut,” katanya.

Abe, 67, merupakan Perdana Menteri Jepun dari 2006 sehingga 2007 dan 2012 sehingga 2020 iaitu empat penggal; sekali gus penyandang jawatan paling lama dalam sejarah negara itu.

Bekas Presiden Parti Liberal Demokratik ini amat dikenali kerana kejayaan dalam strategi dasar ekonomi baharu Jepun yang dilancarkan pada 2013 lalu sehingga dirujuk sebagai Abenomic.

Digelar perdana menteri usia paling muda Jepun pasca-Perang Dunia Kedua, graduan Universiti Southern California, Amerika Syarikat ini pernah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kabinet.

Beliau ada melawat Malaysia selama tiga hari sekitar Mac lalu sebagai Utusan Khas Perdana Menteri Jepun. Fumio Kishida sempena dengan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur.

Stesen awam Jepun, NHK melaporkan, Abe tiada menunjukkan tanda selamat di hospital setelah ditembak dua kali oleh Yamagami Tetsuya ketika berada di Nara pukul 11.30 pagi.

Polis tempatan bagaimanapun berjaya memberkas suspek yang berusia 41 tahun itu selain selaras senjata api buatan sendiri di lokasi kejadian tersebut dengan motif masih lagi disiasat.

Dia dikenal pasti sebagai bekas anggota pasukan pertahanan maritim Jepun dan setakat ini penyiasat polis menyatakan punca tembakan kerana suspek ‘tidak berpuas hati’ dengan Abe.

Kishida dalam pada itu di ibu negara Tokyo mengesahkan bahawa keadaan Abe amat kritikal namun beliau tetap berharap tokoh politik veteran ternama berkenaan akan terselamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN