SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersedia meminda Undang-Undang Tubuh negeri itu bagi membolehkan larangan wakil-wakil rakyat melompat parti dikuat kuasakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun agenda pindaan itu tidak akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadual pada awal bulan hadapan sebaliknya pada persidangan seterusnya.
“Tiada masalah (pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri), bagaimanapun kami tidak sempat untuk hantar notis, kita akan bawa pada persidangan seterusnya, mungkin pada hujung bulan Oktober atau awal bulan November.
“Kami memang meraikan keputusan tersebut (Rang Undang-Undang Antilompat parti) dan saya harap akan memberikan keyakinan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia Kali Ke-13 di sini hari ini.
Semalam Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, tiga buah negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dengan segera sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan.
Guan Eng berkata, pindaan Perlembagaan negeri itu bagi membolehkan larangan wakil-wakil rakyat melompat parti dikuat kuasa masing-masing di DUN ketiga-tiga negeri itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula.
Dewan Rakyat, semalam mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin. – UTUSAN










