RUU Anti Lompat Parti ada kelemahan, perkenal Recall Election

RUU Anti Lompat Parti ada kelemahan, perkenal pilihan raya semula

MUJIBU ABD. MUIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan raya semula atau Recall Election yang memberi ruang kepada pengundi untuk menarik semula soko­ngan kepada wakil rakyat perlu diwujudkan segera bagi melengkapkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dilihat mempunyai kelemahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti meskipun melakar sejarah baharu demokrasi negara, namun masih terdapat banyak persoalan dan memerlukan penambahbaikan sewaktu pelaksanaan kelak.

“Akta ini masih mempunyai dua persoalan iaitu adakah ahli Parlimen yang dipecat dan menyertai parti lain boleh dikatakan lompat? Selain itu, adakah mereka keluar beramai-ramai secara en bloc turut sama-sama dikatakan keluar parti?

“Maka persoalan-persoalan begini menyebabkan akta ini mempunyai kelemahan dan boleh berulang semula Langkah Sheraton 2.0 yang perlu ditambah baik menerusi mekanisme pilihan raya semula sebagai pelengkap kepada Akta Anti Lompat Parti untuk mengembalikan mandat kepada rakyat menyingkiran wakil rakyat yang bertindak lompat parti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan cadangan pilihan raya semula yang dilihat merupakan satu mekanisme terbaik yang akan membolehkan rakyat menarik balik mandat diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka mengkhianati amanah pengundi.

Pilihan raya semula merupakan sistem membolehkan pe­ngundi di kawasan pilihan raya memecat wakil rakyat mereka sebelum tamat penggal per­khidmatan apabila mereka mengemukakan petisyen pe­nyingkiran.

Namun Mujibu melihat Akta Anti Lompat Parti amat penting sebagai satu langkah permulaan negara untuk menjamin mandat diberikan rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) di samping menjaga kestabilan politik ta­nah air.

Tegasnya, RUU Anti Lompat mesti diluluskan kerana undang-undang itu satu-satunya kaedah bagi menyekat ahli Parlimen melompat parti.

“Malaysia belum ada lagi undang-undang sekat lompat parti, maka adalah lebih baik ada undang-undang ini daripada tiada langsung, yang akhirnya memberi ruang kepada ahli Parlimen melompat seperti mana berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan pula berkata, RUU itu tidak menyebut kaedah proses pilihan raya selepas wa­kil rakyat melompat parti seperti mana dilaksanakan oleh negara yang sudah lama mempunyai akta lompat parti.

Katanya, undang-undang ber­kenaan tidak boleh menye­kat wakil rakyat atau ahli politik bertukar parti atau wakil rakyat, tetapi sekiranya mereka berbuat demikian maka kerusi automatik gugur dan pilihan raya perlu diadakan segera.

“Tidak pasti RUU ini ada ele­men itu atau tidak, tetapi seharusnya sudah ia perlu ada peruntukan undang-undang pe­­milihan semula. Negara lain yang sudah lama punyai akta lompat parti seperti Singapura, New Zealand dan India membenarkan lompat parti kerana itu adalah hak berpolitik dalam perlembagaan masing-masing.

“Tetapi kerusi dimenangi sebelum ini perlu dilepaskan dan tergugurlah mereka sebagai wa­kil rakyat dan perlu diadakan pilihan raya semula,” katanya.

Di bawah draf baru RUU itu, Perkara 49A(1) menetapkan se­seorang ahli Dewan Rakyat hen­daklah terhenti menjadi ahli dewan itu dan kerusinya kosong apabila dia melepaskan keanggotaan parti politik, tidak lagi menjadi anggota parti politik atau Ahli Parlimen bebas yang menang pilihan raya kemudian menyertai parti politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN