MARAN: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti ‘mematikan’ istilah katak dalam politik negara.
Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, RUU itu secara langsung mendidik ahli politik yang cenderung ‘melompat’ setia terhadap parti diwakili.
“Kesepakatan blok kerajaan dan pembangkang menyokong akta anti lompat parti membuktikan setiap parti sedar kepentingan akta ini untuk survival sesebuah parti.
“Ini kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ada parti hampir lumpuh apabila ramai ahli Parlimennya melompat ke parti lain atas pelbagai faktor,” katanya ketika mengulas kelulusan RUU tersebut hari ini.
Khamis lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 tentang peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian yang diadakan di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terluas luas.
Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, akta anti lompat parti secara langsung memberi kemenangan kepada pengundi yang memilih wakil rakyat mewakili sesebuah ahli parti politik bukan sebagai pengkhianat kepada amanah diberikan.
“Pelaksanaan akta anti lompat parti ini secara langsung meletakkan iklim politik negara lebih stabil yang memberi kelebihan kepada kerajaan menjayakan pembangunan lebih lancar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, RUU anti lompat parti ini juga menjamin kepercayaan rakyat khususnya pengundi tidak dikhianati oleh wakil rakyat mereka.
“Dengan kelulusan RUU ini, tiada lagi ‘drama’ lompat melompat yang menjejaskan agenda dan tumpuan pembangunan untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN