BESUT: Penggiat industri pelancongan di Kuala Besut di sini berdepan tekanan berikutan peningkatan harga bahan api yang memaksa mereka mempertimbang untuk menaikkan harga pakej dan perkhidmatan bagi menampung kos operasi.
Ini kerana peningkatan harga minyak sejak kebelakangan ini menjejaskan keseluruhan rantaian industri pelancongan termasuk kepada pengusaha bot pelancong dan chalet di situ.
Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Kuala Besut, Mohd. Khaizol Che Mohd Noor berkata, tekanan sangat dirasakan pengusaha bot yang tidak mempunyai subsidi kerana peningkatan harga belian minyak petrol meningkat sekali ganda berbanding sebelumnya.
“Bagi sebuah bot untuk satu perjalanan dari jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian memerlukan satu tong minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM200. Kini untuk satu tong yang sama, pengusaha bot perlu membelanjakan kira-kira RM400 berikutan kenaikan harga minyak.
“Semua pengiat pelancongan di sini tidak mempunyai subsidi untuk pembelian bahan bakar dan ia sepenuhnya ditanggung sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di Jeti Kuala Besut, di sini.
Seorang pengusaha bot, Wan Zalizam Wan Ismail, 49, berkata, mereka kini tersepit untuk menaikkan harga perkhidmatan bagi menjaga pelanggan.
Katanya, pada awal Februari lalu, harga tambang bot ke Pulau Perhentian dinaikkan sebanyak RM10 daripada harga asal iaitu RM70.
“Sekarang ini harga untuk seorang pelanggan adalah RM80 namun ia masih tidak mampu menampung kos pengusaha.
“Kita tidak mahu secara sembarangan menaikkan harga. Jika kita berbuat demikian, ia dapat menjejaskan perniagaan dan pelbagai rungutan diterima daripada pelanggan.
“Mereka telah membuat tempahan awal dan ketika harga yang terdahulu,” katanya.
Bagi pengusaha chalet pula, Datuk Tiew Neng Hock, semua pengusaha penginapan di Pulau Perhentian menggunakan penjana kuasa untuk membekalkan elektrik ke semua bilik bagi penggunaan harian pelanggan.
“penjana kuasa perlu dipasang 24 jam sehari yang mana kita menggunakan bahan api untuk menghidupkannya.
“Sebelum ini untuk chalet saya membeli minyak diesel sebanyak RM500 ringgit sehari.
“Tetapi jumlah itu kini boleh dikatakan meningkat 60 peratus ekoran peningkatan harga minyak diesel sedangkan kedatangan pelancong kurang memberangsangkan,” katanya.-UTUSAN.










