PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pewartaannya dijangka dibuat antara 29 Ogos hingga 2 September ini.
“RUU ini dicadang dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Junaidi berkata, setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenan.
Katanya, beberapa persoalan yang telah dibangkitkan segelintir ahli jemaah menteri menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 1 Jun lalu telah dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas.
“RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta penyata daripada Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut akan dibentangkan atau diletakkan di atas meja mereka di Parlimen pada 18 Julai ini.
“Penyata dan pindaan Perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Pihaknya juga mencadangkan sesi libat urus pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Pejabat Peguam Negara (AGC) bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang diadakan pada 25 dan 26 Julai ini.
Sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara pula diadakan pada 8 Ogos dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada hari berikutnya. – UTUSAN










