SHAH ALAM: Pekerja kontraktor yang melaksanakan pengubahsuaian rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman sukar dikesan polis berikutan kerja tersebut sudah lama dilakukan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sehingga kini polis belum dapat mengenal pasti identiti pekerja terbabit sama ada mereka orang tempatan atau warga asing.
“Bila masanya rumah tersebut diubah suai juga agak lama dan bukan dalam masa terdekat. Hal berkenaan menyukarkan kita, melainkan pekerja berkenaan tampil memberikan maklumat.
“Kita belum pasti mereka (pekerja) warga tempatan atau asing,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis kini mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian rumah Zalina di Seksyen 3 di sini.

Sasikala turut menegaskan, polis masih menjalankan siasatan dengan Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi Orang Hilang (OH) akan diteruskan polis.
“Kita tetap teruskan sekiranya ada apa-apa petunjuk dan jalankan siasatan berdasarkan petunjuk tersebut,” ujarnya.
Berita berkaitan:
- Polis kesan kontraktor ubah suai banglo Zalina
- Seorang lagi gelandangan didakwa mirip Zalina
- Tetap akan cari – Ras Adiba Radzi terus jejaki Zalina Azman
Kehilangan Zalina, 58, sejak lapan bulan lalu terus menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk mengenainya sehingga kini.
Zalina dilaporkan hilang oleh anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu. – UTUSAN










