Reda besarkan tiga anak OKU

Reda besarkan tiga anak OKU

NURUL Fazida Mokhtar bersama tiga anaknya yang dikategorikan sebagai OKU di rumah mereka di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu.Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sepasang suami isteri di Kampung Bukit Diman, dekat sini, reda menerima ketentuan takdir setelah tiga daripada lima anak mereka dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Walaupun dihambat pelbagai cabaran, Nurul Fazida Mokhtar, 45, dan suaminya, Mohd. Ridhwan Ibrahim, 45, tetap tabah menjaga serta membesarkan anak-anak istimewa itu.

Nurul Fazida berkata, anak kedua dan ketiganya iaitu Muhammad Daniel Hakim,13, serta Nur Fatin Qalisha,12, disahkan mengalami masalah pembelajaran manakala anak keempatnya, Muhammad Daniel Harraz, 9, menghidap Cerebral Palsy (CP).

Bagaimanapun, katanya, anak sulung, Nur Fatin Shahira, 15, dan anak bongsu, Nurul Shafika, 6, adalah normal.

“Daniel dan Fatin secara fizikalnya normal seperti orang lain, mereka boleh ke sekolah pendidikan khas. Ada sesetengah perkara, mereka tidak dapat uruskan sendiri serta perlu sentiasa dipantau, selain ada waktunya bertindak di luar jangkaan.

“Tumpuan banyak diberikan pada Muhammad Daniel Harraz yang hanya terlantar sejak lahir. Dia dilahirkan normal seberat 2.69 kilogram, hanya ketika berusia tiga bulan baru nampak perbezaan berbanding bayi-bayi lain.

“Beratnya kini sekitar 10 kilogram dan hanya bergantung kepada susu serta makanan lembut seperti nasi bubur. Saya tidak dapat bayangkan siapa akan menjaganya nanti andai takdir Ilahi menjemput saya dahulu daripada anak syurga ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pendapatan suami yang tidak menentu dengan melakukan kerja-kerja kampung ada ketikanya membuatkan dia sekeluarga berdepan masalah kekangan kewangan sehingga terpaksa meminjam daripada ahli keluarga.

Ujarnya, perbelanjaan keperluan untuk Muhammad Daniel Harraz sahaja mencecah RM800 sebulan terutama bagi pembelian lampin pakai buang serta susu khas.

“Syukur, bantuan bulanan RM500 diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sedikit-sebanyak ringankan beban. Selain itu, Daniel Harraz menerima elaun pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebanyak RM150 sebulan.

“Begitu juga dengan Daniel Hakim dan Fatin Qalisha, masing-masing turut menerima RM150 sebulan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh hubungi 016-9429138 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11500-41-00016087-9 atas nama bersama Nurul Fazida Mukhtar dan Muhammad Daniel Harraz. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya