Rasuah RM24 juta: Bekas CEO anak syarikat sebuah bank ditahan

Rasuah RM24 juta: Bekas CEO anak syarikat sebuah bank pula ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman sebuah syarikat tempatan.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, penahanan suspek yang juga seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank dibuat di Ipoh, Perak semalam.

Kata beliau, suspek dipercayai merupakan ketua kepada CEO wanita yang direman SPRM sebelum ini ketika perlakuan rasuah itu berlaku pada 2010.

“Perintah reman akan dipohon SPRM terhadap suspek di Mahkamah Putrajaya hari ini.

“Permohonan reman itu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.,” kata sumber itu.

Susulan penahanan suspek terbaharu itu menjadikan empat individu ditahan SPRM membabitkan kes berkenaan.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan CEO wanita sebuah anak syarikat sebuah bank dipercayai menerima wang rasuah lebih RM24 juta dengan memindahkan wang yang diperoleh ke dalam akaunnya di luar negara.

Utusan Malaysia melaporkan, wang berkenaan diperolehnya daripada sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mana Ahli Lembaga Pengarah ketika itu merupakan salah seorang daripada dua lagi suspek yang ditahan.

Syarikat tempatan berkenaan diambil alih oleh Ahli Lembaga Pengarah itu melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu AASB yang dimilikinya.

Syarikat berkenaan kemudiannya membuat pinjaman berjumlah lebih RM294 juta daripada bank terlibat sebelum wang tersebut kemudian telah dipindahkan daripada syarikat proksi kepada sebuah syarikat pesisir di luar negara berjumlah RM 24 juta.

Hasil daripada semakan lanjut SPRM mendapati CEO berkenaan merupakan pemilik sebenar syarikat pesisir ini dan merupakan penandatangan yang sah bagi akaun bank milik syarikat pesisir tersebut.

Terdahulu, tiga individu termasuk seorang CEO berkenaan direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman sebuah syarikat tempatan.

CEO wanita berusia dalam lingkungan 50-an bersama dua lagi suspek lelaki berusia antara 53 hingga 58 tahun dipercayai ditahan kira-kira pukul 6 petang di ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN