PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
Menurut sumber, suspek wanita berusia dalam lingkungan 50-an bersama dua lagi suspek lelaki berusia antara 53 hingga 58 tahun dipercayai ditahan kira-kira pukul 6 petang di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini semalam ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta sekitar tahun 2010.
“Suspek lelaki berusia 53 tahun itu pula kini bekerja sebagai perunding kewangan, manakala rakannya tidak bekerja,” kata sumber itu lagi.
Terdahulu, Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab Shukor menetapkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 23 Julai terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










