lebih ramai muflis

Ramai muflis jika OPR naik lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan rakyat Malaysia muflis mungkin bertambah dua kali ganda sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan sekali lagi iaitu sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini.

Sebelum ini, sebanyak 46,132 individu diisytiharkan muflis sejak 2018 sehingga Mei lalu termasuk 10,317 orang yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19.

Ini susulan ramai mengeluh apabila menerima surat bank yang menaikkan kadar faedah sekali gus meningkatkan jumlah ansuran bulanan bagi pinjaman dibuat ekoran pengumuman Bank Negara terhadap kenaikan OPR sebanyak 25 bps pada Mei lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Ariff berkata, Bank Negara Malaysia perlu memikirkan semasak-masaknya langkah menaikkan OPR yang secara langsung memberi kesan kepada pemin­jam kumpulan B40 dan M40 apabila terpaksa membayar pem­biayaan pada kadar lebih tinggi.

Jelasnya, situasi berantai dialami rakyat kini iaitu penarikan subsidi minyak masak botol dan kenaikan inflasi telah menjejaskan poket apabila kehidupan mereka diibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’ sehingga terpaksa mencatu perbelanjaan.

“Sebarang langkah yang menekan rakyat bukan sahaja menyebabkan jumlah muflis me­ningkat, malah meninggalkan kesan emosi apabila setiap hari rakyat sentiasa memikirkan kos sara hidup semakin bertambah sedangkan wang simpanan semakin berkura­ngan.

“Jadi sebelum mengumumkan sebarang langkah terma­suk OPR, pihak terlibat perlu fikir sehabis mungkin kesan yang berlaku kepada kumpulan rakyat berpendapatan rendah. Tanpa rakyat atau peminjam, bank tidak dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda meskipun ketika tempoh pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Kenanga Investment Bank Bhd. meramalkan Bank Negara akan menaikkan lagi kadar OPR sekurang-kurangnya 25 bps akhir tahun berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pertambahan bayaran pinjaman bank pastinya mengurangkan kuasa beli rakyat akibat menipisnya wang poket masing-masing.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan OPR yang bertujuan membendung inflasi tinggi memberi impak besar kepada peminjam dalam kalangan golongan B40 dan M40 apabila mereka terpaksa membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi.

Katanya, perkara itu merupakan salah satu cara yang perlu dilakukan Bank Negara untuk mengatasi masalah ekonomi dan inflasi memandangkan kadar OPR Malaysia merupakan antara terendah berbanding negara lain.

“Paling terkesan adalah peminjam kaedah konvensional apabila kadar faedah berubah-ubah mengikut pe­netapan OPR oleh Bank Negara berbanding pinjaman Islam yang tetap.

“Justeru itu untuk mengelakkan perkara ini berlaku, mereka boleh menukarkan kaedah konvensional kepada pinjaman Islam bagi mengelakkan kesan kenaikan OPR yang berubah-ubah mengikut keadaan,” katanya.

Minggu lalu, seorang penjawat awam terkejut apabila bayaran balik pinjaman peri­badinya melonjak sehingga lebih RM600 sebulan selepas bank melaraskan kadar asas apabila sebelum ini bayaran balik pinjamannya RM1,450 sebulan, tetapi bermula akhir bulan ini ia perlu membayar RM2,072 sebulan.

Namun isu itu selesai selepas pihak bank menghubu­ngi individu terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN