Raja Muda Kedah dukacita tragedi kepala air berulang - Utusan Malaysia

Raja Muda Kedah dukacita tragedi kepala air berulang

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan membersihkan pekarangan SK Kuala Kupang di Baling, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Raja Muda Kedah menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi kepala air dan banjir lumpur  di Kampung Iboi, Kupang di sini.

Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, ini kerana kejadian seumpama itu bukan kali pertama di negeri ini yang turut mengorbankan nyawa penduduk.

“Masa itu dapat berita daripada WhattsApp (tentang) kejadian yang berlaku, saya rasa terkejut, berasa sedih benda ini berlaku lagi.

“Ini bukan pertama kali, (tetapi) ini kali kedua selepas di (Gunung Jerai), Yan. Jadi saya sedih berlaku kepada penduduk kampung,” titah baginda selepas mencemar duli ke Kampung Iboi, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan kedua-dua anakanda baginda.

Pada Isnin lalu, tiga penduduk Kampung Iboi yang tidak sempat menyelamatkan diri ditemukan meninggal dunia selepas dihanyutkan aliran air deras akibat kepala air dari Gunung Inas.

Kejadian tersebut tidak sampai setahun selepas tragedi sama berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu yang turut mengorbankan enam penduduk.

Justeru, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah agar penduduk yang tinggal di kawasan berisiko seperti tebing-tebing sungai agar berpindah segera setelah menerima arahan daripada pihak berkuasa.

Titah baginda, langkah tersebut bukan sahaja perlu dilaksanakan di kawasan seperti Kampung Iboi, sebaliknya di seluruh negeri Kedah yang berhampiran bukit atau gunung.

“Kalau masa itu polis pun mai (datang) bagitau suruh pindah, pindahlah. Macam saya kata kawasan satu Kedah, mana yang duduk dekat (kawasan) ada kemungkinan hujan lebat dan air akan naik kena jaga-jaga.

“Selain itu kerajaan negeri juga dikatakan akan melaksanakan sistem amaran awal di beberapa kawasan dalam negeri ini. Diharapkan semua pihak selepas ini akan peka dengan amaran dikeluarkan itu sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi bencana,” titah baginda.

Terdahulu, Tengku Sarafudin Badlishah dan Che Puan Muda Zaheeda menyampaikan sumbangan kepada 112 keluarga mangsa selain berkenan meluangkan masa bersama para sukarelawan membersihkan pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kupang.

Baginda berdua turut mendengar sembah taklimat mengenai kejadian itu di pusat kawalan bencana berdekatan Tadika Kemas Kampung Bendang Bechah sebelum berangkat menyeberangi Sungai Kupang menggunakan jambatan bailey yang baru disiapkan hari ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya