BUKIT MERTAJAM: Ribuan penduduk di negeri ini khususnya yang tinggal di kawasan Seberang Perai panik apabila bekalan air dilaporkan terputus secara tiba-tiba.
Difahamkan, keadaan yang sama turut berlaku di beberapa kawasan di bahagian pulau secara berperingkat-peringkat sejak pagi ini.
Berikutan masalah gangguan air itu, beberapa pasar raya di sini diserbu orang ramai yang membuat pembelian panik untuk mendapatkan air minuman susulan terdapat desas-desus mengatakan masalah tersebut berlarutan selama beberapa hari.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pasar raya mendapati, rata-rata pengunjung mendapatkan sekurang-kurangnya satu botol air minuman bersaiz lima liter sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang suri rumah, Aminah Jusoh, 45, ketika ditemui berkata, dia mendapat tahu mengenai masalah gangguan air itu melalui laman Facebook dan ke pasar raya terdekat dengan ditemani oleh anak lelakinya.
“Susah kalau betul air tak ada sampai dua ke tiga hari. Nak basuh, nak masak, nak minum, semua guna air. Tak ada air ini lebih menyeksakan daripada tak ada api (elektrik). Sudahlah notis awal (amaran) pun tak ada (tak diberikan),” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Bagi seorang pekerja swasta, Muhammad Radzi Samsudin, 38, pula, dia singgah ke pasar raya itu untuk membeli air minuman dalam perjalanan pulang dari pejabatnya.
“Masa saya sampai saya tengok orang dah mulai ramai. Boleh kata setiap troli ada air mineral sama ada yang diletakkan dalam kotak atau botol,” katanya yang mendapat tahu mengenai masalah itu menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya menerima pertanyaan dan aduan daripada pengguna berkaitan tekanan air rendah di seluruh Pulau Pinang termasuk pengguna industri dan memohon maaf atas segala kesulitan sementara yang berlaku.
Katanya, masalah bekalan air terputus itu berlaku disebabkan semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terpaksa dihentikan buat sementara waktu bermula pukul 8 pagi ini bagi mengelakkan pengeluaran air terawat tidak selamat.
“Bagaimanapun, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh negeri ini akan dipulihkan pukul 12 tengah hari esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN










