KUALA LUMPUR: Penubuhan Puteri Barisan Nasional (BN) yang diluluskan hari ini merupakan satu pengukuhan penting terhadap kesiapsiagaan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan Puteri BN yang menggabungkan sayap belia wanita dalam komponennya seperti Puteri MIC dan Beliawanis (MCA) menunjukkan keseriusan jentera BN mendepani cabaran pilihan raya akan datang.
“Saya lihat dalam kalangan parti-parti komponen BN, keseluruhan usaha untuk memantapkan BN lebih jelas dan tentunya kita harus mengikis perbedaan-perbedaan yang ada di pilihan raya umum sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, kelulusan Puteri BN itu yang akan diabsahkan di mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Ogos ini bakal menyaksikan calon baharu dari kalangan sayap tersebut untuk diketengahkan di PRU15.
“Realiti yang ada di hadapan kita jika mahu menang, muka-muka baharu mesti diketengahkan lebih ramai lagi. Ini terbukti di PRN Melaka apabila 87 peratus muka baharu dan hasilnya kita menang lebih tiga per empat majoriti.
“Acuan yang kita lihat di PRN Johor dan Melaka itu adalah yang terbaik dan kita akan lakukan lebih baik daripada itu. Kita utamakan ‘muka-muka segar’ sebab tu kita faham bahawa berlaku tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya. – UTUSAN