Pulau Pinang tubuh panel penyemak bebas kenal pasti faktor krisis bekalan air - Utusan Malaysia

Pulau Pinang tubuh panel penyemak bebas kenal pasti faktor krisis bekalan air

PULAU PINANG menubuhkan panel penyemak bebas terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan serta pengurusan lembangan tadahan air bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis bekalan air pada 6 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan panel penyemak bebas terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan serta pengurusan lembangan tadahan air bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis bekalan air pada 6 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, keahlian panel penyemak bebas akan dimuktamad dan diumumkan dalam masa terdekat dan panel akan diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan hasil dapatan mereka.

”Antara peranan panel berkenaan ialah membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan ‘post-mortem‘ krisis air di Pulau Pinang yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

”Selain itu, panel ini juga berperanan mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air di Pulau Pinang dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 11 Julai lalu, PBAPP mengumumkan bekalan air pulih sepenuhnya di seluruh negeri ini selepas enam hari gangguan disebabkan oleh penutupan sementara LRA Sungai Dua.

Penutupan sementara LRA Sungai Dua pada 6 Julai lalu itu disebabkan kadar kekeruhan air mentah yang luar biasa tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling, Kedah.

Penutupan LRA Sungai Dua itu mengakibatkan sebanyak 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun air di seluruh negeri ini terputus bekalan air.

Menurut Zairil, panel itu juga akan mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana pendek dan  panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku.

“Selain itu, panel ini juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya