SHAH ALAM: Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan Program Permit Khas yang membenarkan tanah pertanian digunakan untuk kegiatan lain termasuk pembangunan industri halal.
Menurut Exco Agama, Pengguna dan Industri Halal, Mohd.Zawawi Ahmad Mughni, industri halal ketika ini menjadi perhatian di mata dunia dan disebabkan itu kerajaan negeri ketika ini dalam proses untuk menyemarakkan industri tersebut di Selangor.
“Untuk mencapai objektif tersebut kerajaan negeri akan memperkenalkan Program Permit Khas yang membenarkan tanah pertanian diguna untuk kegiatan lain.
“Contohnya jika ada dalam kalangan tuan-tuan yang mempunyai tanah persendirian dan ingin memulakan bisnes atau perniagaan yang membabitkan keperluan untuk menukar status tanah, maka bolehlah berbuat demikian,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Kesedaran Halal peringkat Daerah Hulu Langat Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Bangi.
Mohd.Zawawi berkata, penurunan deposit premium tanah dalam Dasar 100 Hari Kelulusan Tanah daripada 150 hari adalah untuk memudahkan pihak usahawan.
“Namun ia tertakluk kepada terma dan syarat yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. – UTUSAN










