ALOR GAJAH: Sebuah kedai gunting rambut di Masjid Tanah di sini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mendapatkan khidmat potong rambut di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik BarberShop & Salon Muslimah, Nur Atiqah Zulkifli, 32, berkata, pelanggan hanya perlu memaklumkan mereka adalah warga emas atau OKU bagi mendapatkan keistimewaan tersebut.
Menurutnya, urusan pelanggan juga dipermudahkan apabila tiada prosedur tertentu seperti menunjukkan kad pengenalan dan kad OKU untuk membuktikan identiti mereka.
“Saya tidak kenakan caj potong rambut kepada individu berusia 60 tahun dan ke atas serta OKU sejak membuka kedai ini enam tahun lalu. Tiada proses yang renyah, cukup sekadar maklumkan kepada saya, mereka adalah warga emas dan OKU.
“Saya tidak menetapkan jumlah tertentu jika pelanggan berkeras mahu membayar. Bayar saja seikhlas hati. 10 sen pun saya terima. Saya berniaga bukan untuk kaya, tetapi mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Nur Atiqah, meskipun hiasan dalaman kedainya menonjolkan gaya ala hipster, namun harga dikenakan tetap sama seperti kedai gunting rambut lain iaitu RM12 untuk lelaki dewasa, sementara wanita pula RM15.
Katanya, harga yang berpatutan dapat menarik lebih ramai pelanggan, di samping membantu menyebar luas perkhidmatan disediakan di kedainya. – UTUSAN










