PETALING JAYA: Pelajar dan kakitangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang berdepan detik cemas apabila blower udara di sebuah makmal terbakar petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.44 petang.
Pengarah JBPM Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata sebanyak lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba, kita dapat berlaku kebakaran melibatkan blower udara PVC di makmal sekolah tersebut namun telah dipadam oleh kakitangan sekolah menggunakan pemadam api.
“Komander operasi terus mengarahkan kerja-kerja pemadaman sepenuhnya sebelum kes diserahkan pihak forensik untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.- UTUSAN