Bengkel intensif yang memfokuskan kepada makhraj dan sifat berjaya menarik penyertaan memberangsangkan daripada pelajar sekali gus membuktikan minat dan kesungguhan golongan muda terhadap penguasaan bacaan al-Quran yang betul dan berkesan.
Fokus utama adalah dua aspek penting dalam ilmu tajwid, iaitu makhraj (tempat keluarnya huruf) dan sifat huruf (sifat semula jadi huruf-huruf hijaiyyah).
Walaupun sudah lancar membaca al-Quran, masih ramai yang kurang tepat dalam sebutan huruf yang memerlukan latihan berterusan dan bimbingan secara bersemuka atau bertalaqqi.
Justeru, berbekalkan model pengajaran faseeh ilmu aswat yang memfokuskan juga beberapa huruf sederhana dan sukar, dapat memudahkan kefahaman terhadap bunyi asal huruf yang bukan sekadar hafalan teori.
Melalui kaedah demonstrasi secara langsung, latihan praktikal secara individu dan berkumpulan, peserta dibimbing untuk memperbetul sebutan huruf-huruf contohnya ص (sād), ض (dād), ط (tā’) dan ظ (zā’), yang sering menjadi cabaran besar kepada penutur bukan Arab.
Program yang dijalankan pada 2 dan 3 Jun 2025 bertempat di Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah itu merupakan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Universiti Malaya (UM).
Ia turut disertai pelajar-pelajar dari Madrasah Darul Muttaqin, lebih dikenali sebagai Pondok Lepan Bola, yang terletak di Tanah Merah Kelantan.
Bengkel itu dikendalikan pegawai dari Unit Kenaziran MAIK, Rosli Che Soh yang pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Pelajar turut terlibat dalam latihan sebutan berpasangan, klinik surah al-Fatihah dan sesi soal jawab terbuka.
TAHSIN AL-QURAN
MAIK yang menyalurkan dana untuk pelaksanaan bengkel Tahsin al-Quran di Kelantan bekerjasama dengan pensyarah Universiti Malaya (UM) membuktikan jurang antara pendidikan moden dan tradisional boleh dirapatkan demi kepentingan ilmu.
Dengan asas makhraj yang lebih kukuh, pelajar bukan sahaja membaca al-Quran dengan lebih tepat, tetapi turut bersedia menjadi pengajar atau imam pada masa hadapan
Menurut Mudir Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah sebagai perasmi, Tuan Guru Haji Affandi Isa, inisiatif itu bertujuan melahirkan pelajar yang membaca dan tahu makna.
“Kita mahu lahirkan pelajar yang bukan sekadar tahu baca, tetapi baca dengan betul, ikut hukum, ikut makhraj. Inilah tujuan kita buat bengkel ini, dan alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan,” katanya.-UTUSAN










