AS arah petugas diplomat tinggalkan Asia Barat

AS arah petugas diplomat tinggalkan Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pengunduran petugas diplomatik bukan penting serta ahli keluarga mereka dari beberapa kedutaan di Asia Barat, susulan ketegangan yang semakin meruncing di rantau itu terutama melibatkan Iran.

Langkah pengunduran separa itu dibuat ketika Teheran mengancam akan menyasarkan pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan sekiranya konflik meletus, manakala Presiden AS, Donald

Trump pula menyatakan beliau kini kurang yakin terhadap prospek mencapai perjanjian nuklear bersama Iran.

Menurut kenyataan Jabatan Negara AS, perintah pengunduran itu melibatkan semua kakitangan bukan penting di Kedutaan AS di Baghdad, Iraq, sejajar dengan komitmen negara itu untuk memastikan keselamatan rakyatnya di dalam dan luar negara.

Kedutaan AS di Baghdad sebelum ini telah pun beroperasi dengan kakitangan minimum, dan arahan ini dijangka tidak melibatkan jumlah besar petugas manakala kebenaran sama turut diberikan untuk pengunduran petugas bukan penting dan ahli keluarga dari Bahrain serta Kuwait.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth turut membenarkan pengunduran secara sukarela ahli keluarga anggota tentera dari lokasi-lokasi tertentu di Asia Barat, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Komando Pusat AS (CENTCOM).

Langkah tersebut diambil ketika ketegangan di rantau berkenaan berada pada tahap membimbangkan, ekoran konflik berterusan di Gaza yang telah berlarutan selama 18 bulan dan situasi itu meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala lebih besar yang membabitkan AS dan Israel menentang Iran serta sekutu-sekutunya.

Pada Rabu, agensi perkapalan Britain memberi amaran ketegangan yang meningkat di Timur Tengah boleh mencetuskan peningkatan aktiviti ketenteraan yang berisiko menjejaskan laluan perkapalan penting. Kapal-kapal dinasihatkan berhati-hati semasa melalui Teluk, Teluk Oman dan Selat Hormuz yang semuanya bersempadan dengan Iran.

Pejabat Luar Negeri Britain memaklumkan ia turut memantau perkembangan terkini dan akan menilai operasi kedutaannya di Iraq dari semasa ke semasa, susulan langkah pengunduran oleh AS.

Washington dan Teheran kini masih buntu berhubung isu pengayaan uranium, yang dianggap sebagai hak mutlak oleh Iran namun digelar garis merah oleh AS.

Sebelum ini, Trump dilaporkan yakin rundingan nuklear berada di landasan positif, namun dalam satu wawancara terbaharu yang disiarkan menerusi audio siar Pod Force One, beliau menyuarakan kebimbangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN