Polis Melaka buru suspek tikam bekas kekasih - Utusan Malaysia

Polis Melaka buru suspek tikam bekas kekasih

CHRISTOPHER PATIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis memburu seorang lelaki dipercayai menikam bekas kekasihnya menggunakan pisau dan mencederakan rakan mangsa di kaki lima, Jalan Tun Sri Lanang di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, 23, mengalami kecederaan parah di tangan dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka manakala rakannya 25 tahun cedera di telinga. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 6.26 petang dan sepasukan polis bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan. 

“Setiba di lokasi, suspek telah pun melarikan diri manakala dua wanita yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital. 

“Mangsa mendakwa suspek adalah bekas kekasihnya berusia 22 tahun dan diserang menggunakan pisau apabila dia enggan keluar bersama lelaki itu selepas menamatkan hubungan mereka dua minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, semasa diserang, mangsa menahan tikaman suspek menggunakan tangannya sebelum rebah dan rakannya yang cuba membantu turut tercedera.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dan nombor kenderaan itu dikenal pasti sebagai saksi di tempat kejadian.

“Gambar suspek juga diperoleh dan pasukan dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sedang memburu lelaki berkenaan. Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN