KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menutup terus pintu kepada bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya ingin kembali menyertai parti itu.
Layanan sama turut diberi kepada semua wakil rakyat lain yang lompat parti susulan parti itu dikhianati 11 ahli Parlimennya dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tidak ada perubahan terhadap ketetapan itu yang dicapai berikutan insiden yang membawa kepada runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Dulu waktu ramai ahli Parlimen UMNO berhijrah masuk Bersatu, ada seorang ahli Parlimen UMNO ingin menyertai PKR, kami bincang panjang lebar dan akhirnya kami tidak menerima.
“Setakat ini, setahu saya pendirian masih sama di mana jika ada ahli Parlimen yang lompat parti dan ingin menyertai PKR, kita memang tidak akan terima.
“Walaupun namanya Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), kita tidak pernah bincang dan tidak akan bincang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Mohamed Azmin dan 10 ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan keluar parti dan PH bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.
Azmin kemudiannya mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penyertaan itu termasuklah bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).
Bagaimanapun, tindakan melompat parti mungkin tidak lagi berlaku susulan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti, kelmarin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, adalah tidak adil untuk PKR menerima mana-mana wakil rakyat yang melompat parti kerana telah mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Kita berpegang pada prinsip, tiada yang untung pun jika terima mereka, rugi banyak adalah dan ia akan menjejaskan imej PKR. Ini akan menjadikan tidak adil langsung untuk pengundi,” jelasnya.
Katanya, bagi calon di kerusi panas seperti Gombak, parti belum mempunyai calon, namun tidak bermakna akan menerima Azmin kembali menyertai PKR. – UTUSAN










