PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mahu Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) perlu menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebar luas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut.
Beliau berkata, semua PPD perlu menjadi pemudahcara antara pihak sekolah dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga kementerian sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.
“Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai mencari salah, perlu diubah tetapi perlu menjadi institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah.
“Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD-sekolah-guru maka hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik melalui Facebook miliknya hari ini.
Radzi berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara Kementerian Pendidikan-JPN-PPD-sekolah bagi memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum.
“Saya berkeyakinan dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan guru, usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan kementerian.
“Perkara ini saya suarakan bagi berkongsi mengenai dasar, hala tuju, perancangan serta langkah-langkah yang akan dan telah diambil kementerian dalam mentransformasi pendidikan serta peranan yang harus dimainkan pegawai PPD bagi memastikan perubahan yang digariskan dilaksana dan mencapai objektif ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, perkongsian dibuat susulan pertemuan dengan 146 pegawai PPD yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
“Mereka terdiri daripada pegawai PPD dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan. Ini adalah susulan konvensyen pertama minggu lalu yang melibatkan seramai 142 pegawai PPD dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










