KUALA LUMPUR: Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia fasa kedua akan dibuka bermula 1 Ogos ini sehingga 30 September 2022.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-Kom), Tan Sri Annuar Musa berkata, skop pemberian kali ini adalah lebih meluas meliputi pelajar Institut Perguruan serta Kolej Matrikulasi.
“Oleh kerana terdapat pelajar baharu yang bakal memasuki Institut Pengajian tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), K-Kom membuka sekali lagi permohonan untuk mendapatkan peranti mulai 1 Ogos dan dibuka selama 60 hari sehingga 30 September.
“Dalam permohonan fasa kedua ini, kerajaan bersetuju untuk perluaskan kelayakan bagi memohon peranti untuk turut melibatkan selain daripada IPTA dan IPTS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, ia dibuka juga kepada siswa siswi Institut Perguruan di bawah KPM, dan siswa siswi di kolej-kolej Matrikulasi di bawah KPM.
“Untuk fasa kedua yang datang dari keluarga B40 dengan gaji di bawah RM4,850 sebulan layak membuat permohonan secara atas talian mulai 1 Ogos dan akan ditutup pada September bagi fasa kedua, dan penyampaian Peranti dapat dilakukan sebaik sahaja fasa kedua ditutup kira-kira pada Oktober akan datang,” katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.
Berhubung permohonan bagi peranti fasa pertama, Annuar turu menjelaskan ia akan disampaikan pada bulan hadapan.
“K-Kom telah membuka permohonan secara atas talian bagi fasa pertama, ada 100,000 permohonan yang sedang diproses Jawatankuasa Penilai sekarang dan fasa pertama ini penyampaian peranti akan dapat bulan hadapan,” katanya lagi.
Tambah beliau, perincian lebih lanjut mengenai jenis, spesifikasi, perincian jumlah yang diberi kepada IPTA dan IPTS akan dibentang pada 4 Ogos dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat. – UTUSAN










