Perak tiada masalah projek Persekutuan batal, tangguh - Utusan Malaysia

Perak tiada masalah projek Persekutuan batal, tangguh

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penangguhan dan pembatalan projek yang diumumkan kerajaan sebagai langkah penjimatan tidak menjejaskan Perak kerana projek yang sudah dimulakan masih diteruskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang ditangguhkan atau dibatalkan Kerajaan Persekutuan tersebut merupakan projek yang diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Itu pengumuman yang dibuat oleh menteri yang menjaga EPU dan ICU sebab tapisan bagi permohonan projek yang diluluskan itu berasaskan yang diperuntukkan oleh EPU dan ICU.

“Di Perak, saya tidak nampak ada masalah kerana projek yang telah dimulakan, diteruskan dan itulah jawapan saya kerana yang lain adalah projek Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang turut mengadakan sidang akhbar meminta Kerajaan Persekutuan dan negeri mengumumkan segera projek-projek yang akan dibatalkan atau ditangguhkan segera.

Menurut Zhemin, ini kerana nilai projek pembangunan di Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM27.58 bilion melibatkan 1,389 projek berdasarkan laporan berita pada November tahun lalu.

“Adakah semua projek ini akan dibatalkan atau ditangguh? Ini semua selepas kenyataan menteri terlibat, projek bernilai RM27.58 bilion ini ada risiko ditangguh atau dibatalkan. Jadi kita nak tahu yang mana tangguh, yang mana batal dan saya rasa isu ini satu isu yang amat penting bagi Perak,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan semua projek pembangunan yang belum dimulakan, akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman.

Menurut Mustapa, langkah menangguhkan atau membatalkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekali gus membantu menstabilkan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN