Penyeludupan minyak masak, diesel bersubsidi tumpas

Penyeludupan minyak masak, diesel bersubsidi tumpas

RAMPASAN minyak masak bersubsidi berhampiran Sungai Kolapis, Beluran semalam-IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Cubaan menyeludup keluar barang kawalan minyak masak dan diesel bersubsidi dengan jumlah keseluruhan RM1.904 juta berjaya ditumpaskan berhampiran Sungai Kolapis baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dan dibantu oleh Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga kapal di lokasi serbuan.

Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri Sabah, Georgie Abas berkata, pasukan serbuan menemukan sebanyak 9,690 kilogram minyak masak peket satu kilogram di atas kapal dan 5,000 liter minyak diesel di dalam skid tank yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran.

Jumlah rampasan minyak masak & diesel bersubsidi bernilai RM34,975 dan keseluruhan rampasan termasuk kapal bernilai RM1.904 juta.

“Kejayaan tangkapan dan rampasan itu hasil risikan selama tiga minggu oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, penjaga kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.

Kes itu juga akan disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti rantaian kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi itu.

Mengulas lanjut katanya, bagi pemeriksaan Op ATM (ayam, telur dan minyak masak), sebanyak 23 kesalahan berjaya direkodkan menerusi pemeriksaan terhadap 1,162 premis di seluruh Sabah bermula daripada 23 Jun sehingga semalam.

Kesemua 23 kes itu membabitkan kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Op ATM ini. Justeru, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Menurut beliau, Op ATM mula dilaksanakan pada 23 Jun secara berfasa untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN