KARYA besar dan karya kecil bertitik tolak daripada gerak kerja penyusunan ilham, idea, fikiran, fakta dan momen biasa dan luar biasa lantas menjadi berwarna-warni dek penyisipan emosi, nilai dan maruah insaniah.
Bersandarkan kerangka inilah, saya terdorong menghimpunkan karya 51 sahabat pengkarya dalam gerak kerja mendokumentasikan kenangan. Fitrah kerjanya menuntut masa, kudrat, minat dan muafakat. Justeru, terhasillah manuskrip Siri Imbauan Era Sekolah (SIES) yang bertemakan jalur kenangan pada era persekolahan.
Lima tema pilihan itu ialah Kisah dari Kelas Bahasa, Corat-coret Koakademik, Rombongan Budak Sekolah, Gelanggang yang Bertuah dan Kisah Guru Disiplin.
Proses kerja meliputi penghayatan konsep, pembinaan karya, bimbingan penulisan, pembacaan manuskrip, penyuntingan, pembacaan pruf dan kerja-kerja asas perbukuan.
Saya mendapati tema-tema pilihan itu sarat dengan kenangan yang dapat menerapkan nilai-nilai sejarah peribadi, sejarah sekolah dan rempah ratus kehidupan silam yang masih segar dalam ingatan.
Para pengkarya telah menukilkan mukadimah, plot naratif dan solusi yang akan menginspirasikan pembaca kelak.
Latar sesuatu subjek kenangan tentu sekali berbeza antara pengkarya. Ada kenangan yang tercetus di bilik darjah. Ada juga kenangan yang terkait dengan pengalaman menyertai kegiatan luar bilik darjah. Bahkan, ada juga kenangan terukir oleh kemaslahatan tugas rasmi.
Penulis wanita yang tidak asing lagi, Lily Haslina Nasir telah mengutarakan karya berjudul Terima kasih, Adiguruku. Lily menyorot kenangan pada detik awal pelibatannya dalam dunia penulisan di sekolah menengah. Lily diberi penghormatan membuka gelanggang tema Kisah dari Kelas Bahasa.
M Mascita Mansor, Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti, UIAM telah menulis tentang Bahasa Ibunda Wahana Jiwa. Dalam karyanya terhimpun cebisan kisah yang berpusat pada pengalaman awalnya dalam aktiviti mengarang di sekolah.
Pengalaman menjadi guru ganti yang mengajarkan Bahasa Melayu merupakan kisah yang menjadi pilihan Cikgu Noor Farahida Kamel Shah atau Faa Kashah, pengkarya dari Segamat, Johor. Faa Kashah berhasil membina suasana riang di bilik darjah dengan mengajak murid-muridnya bermain teka-teki.
Cikgu Naimah Abdul Ghani dari Kedah mengetengahkan coretan tentang khilafiah dalam penyebutan kosa kata oleh pelajarnya. Nada kecindan turut diselitkan dalam karyanya, iaitu kesilapan menyebut ‘cacat dan catat’ serta ‘perpustakaan dan perpuskataan’. Momen itu adalah antara kenyataan yang dialami di bilik darjah. Hal itulah yang membuahkan kenangan.
Tema ‘Corat-coret Koakademik’ mengutarakan naratif yang juga seronok dibaca. Pesara guru, Cikgu Nazim Mohd. Subari mengongsikan kenangan sewaktu bertugas sebagai guru bahasa yang juga penggiat koakademik di sekolah. Karyanya Tuah Kapten dan Nyala Bahasa memerihalkan pengalamannya menyemarakkan jiwa berkarya dalam kalangan pelajarnya.
Guru Bahasa Inggeris dari Kedah, Cikgu Ahmad Fadli Mohd. Fuzi pula menceritakan pengalaman mengurus aktiviti kebahasaan di sekolah termasuk menjadi hakim pertandingan syarahan bahasa Inggeris.
Dr. Ahmad Fikri Ab Rahman, Pensyarah di IPGK Perempuan Melayu, Melaka yang berpengalaman mengajar di Sarawak telah menceritakan kisah kejayaan murid-murid bimbingannya yang mendapat tempat ketiga dalam Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan pada 2019. Para pemantunnya terdiri daripada murid-murid etnik Lun Bawang dari Lawas, Sarawak.
Bagi tema “Rombongan Budak Sekolah”, hasil karya menjelaskan bahawa pengalaman guru mengurus rombongan murid ke tempat-tempat menarik di seluruh negara bukan sesuatu yang remeh.
Plot yang terjalin tentang peristiwa rombongan berjaya diolah dengan gaya penulisan yang kaya maklumat.
Bekas guru besar dari Yong Peng, Johor, Cikgu Ateh Salim menceritakan pengalamannya membawa murid-murid ke Kuala Lumpur. Dalam pengisahan itu, tersisip momen yang melucukan apabila sekumpulan murid tergesa-gesa mencari tandas di sebuah hotel. Pintu lif disangka pintu tandas! Coretannya tampak biasa, tetapi pengalaman itulah yang membenihkan kenangan.
Prof. Madya Dr. Nor Raudah Siren daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya turut berkongsi kenangan era bersekolah semasa menyertai rombongan ke Pulau Pinang.
Dalam karyanya, Dr. Raudah mengisahkan detik pengalaman yang mendebarkan sewaktu terkeluar daripada kelompok ahli rombongan. Olahan ceritanya yang kemas menjadikan karyanya seronok dibaca.
Bagi tema yang keempat, “Gelanggang yang Bertuah”, Nur Yusniza Mohd. Yusof atau Jaja Yusof yang juga anak tokoh seni negara yang tersohor, Yusof Gajah (Almarhum) telah menggalurkan pandangan tentang pelibatannya dalam aktiviti seni lukis naif di lapangan.
Jaja turut mengongsikan pesan ayahandanya, Almarhum Yusof Gajah: “…Syaitan di mana-mana. Dalam pembuluh darah kita juga ada. Mereka hanya lakukan kerja mereka. Tugas kita hanya buat baik sahaja.”
Penulis dari Kapar, Klang, Bahron Zaman Majid turut menyorot kenangan manis yang dilalui ketika mengasuh anak lelakinya sehingga berjaya mewakili negara dalam pertandingan Manchester United Premier Cup (2014) di Phuket, Thailand.
Jelas kenangan seumpama ini begitu bererti kepada ibu bapa dan insan keliling yang terlibat sama.
Tema yang kelima, ‘Kisah Guru Disiplin’, terkait dengan persepsi bahawa guru disiplin di sekolah lazimnya ditakuti, digeruni atau dijauhi. Dalam pada itu, terserlah juga unsur asuhan adab serta unsur kecindan yang tersimpan dalam memori, dilihat daripada sudut pandang murid atau bekas guru disiplin.
Siti Aishah Aziz, bekas peserta Pengkarya Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (2016) mencoretkan kisah Pengawas Celup pada era persekolahannya.
Cikgu Erman Ngah Mauzi, Ikon Guru Perpustakaan dan Media dari Sarawak dalam karyanya “Berbudi kepada Jiwa” mencambahkan pemikiran tentang perbedaan antara tugas guru biasa dengan tugas warden merangkap guru disiplin.
Kesimpulannya, karya-karya dalam SIES dapat menyerlahkan peristiwa atau momen kenangan yang menginspirasikan pada zaman sekolah. Banyak lagi tema tentang sekolah yang boleh dibukukan.
Saya bertuah kerana berkesempatan membaca 107 buah manuskrip sebagai suatu gerak kerja menyusun kenangan untuk dijadikan warisan intelek.-UTUSAN










