Penuntut rugi lebih RM18,000 terpedaya tawaran komisen lumayan - Utusan Malaysia

Penuntut rugi lebih RM18,000 terpedaya tawaran komisen lumayan

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penuntut sebuah universiti awam tempatan mengalami kerugian RM18,193 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan tentang kejadian tersebut semalam.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan dalam satu platform e-dagang yang popular dan dikenali ramai.

“Pada awal bulan lalu, mangsa terlihat iklan tawaran pekerjaan dengan bayaran komisen yang lumayan membuatkan mangsa menekan pautan yang diberikan dan berkomunikasi dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa diyakinkan bahawa hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan dan akan memperoleh komisen sebanyak 10 peratus, berserta pulangan semula modal yang dikeluarkan.

“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM18,193 ke dalam tiga akaun bank tempatan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas pihak yang menjanjikan tawaran berkenaan tidak memulangkan semula wang milik suspek berserta komisen yang dijanjikan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk sindiket ‘keldai akaun’.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat dalam kes berkenaan,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN