Penghuni dakwa pangsapuri rosak, desak pemaju baiki segera

Pangsapuri rosak, penghuni desak pemaju baiki segera

PENDUDUK Pangsapuri Impian Jauhar menunjukkan kesan rekahan di luar bangunan yang hanya ditutup dengan simen oleh kontraktor dilantik pemaju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Para penghuni Pangsapuri Impian Jauhar di sini meminta pemaju bertanggungjawab segera membaiki segala kerosakan yang berlaku di perumahan berkenaan. Mereka mendakwa, walaupun perumahan tersebut baharu diduduki sejak Disember tahun lalu, namun banyak masalah dan kerosakan yang berlaku.

Seorang penduduk, Iman Nu­rudinn Azmi, 30, yang membeli kediaman tersebut dengan har­ga RM150,000 menerusi program Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) yang dilaksanakan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) telah mendapat kunci rumah pada Disember 2021.

IMAN Nurudinn menunjukkan kesan rekahan di dalam bahagian salah sebuah rumah Pangsapuri Impian Jauhar.

“Namun perkara yang paling mengecewakan adalah keadaan rumah yang kami terima, bukan sahaja persekitaran dalam ke­adaan kotor dan tidak terurus, malah banyak masalah berlaku walaupun perumahan ini baru diduduki beberapa bulan. Antara kerosakan ketara yang dapat dilihat adalah majo­riti rumah ini berlaku keretakan, selain masalah perpaipan yang kerap berlaku kebocoran, khususnya di kawasan bilik air.

“Isu menjadi lebih parah apabila aduan yang dibuat kepada pemaju seolah-olah tidak diendahkan, sedangkan rumah ini masih dalam tempoh jaminan oleh pemaju,” katanya yang menetap di tingkat lima.

Iman Nurudinn mendakwa, pemaju hanya mengambil jalan mudah dengan mengecat semula keretakan yang berlaku, sedangkan masalah utama dan punca retak itu dibiarkan sahaja.

Seorang lagi penduduk, Chong Kwong Chin, 32, pula memberitahu, setiap blok di­peruntukkan dengan tiga lif, namun kemudahan itu kerap rosak sehingga kadangkala kese­muanya rosak serentak.

“Saya mula menduduki kediaman ini sejak Mei lalu, namun dalam tempoh sebulan lebih ini, sudah dua kali ketiga-tiga lif blok saya rosak, memaksa penduduk menggunakan tangga.

“Setelah aduan dibuat dan lif berkenaan dibaiki, hanya beberapa hari kemudian salah sebuahnya akan rosak semula. Kini hanya dua buah lif yang berfungsi, manakala yang rosak dibiarkan hampir sebulan, alasan diberikan pemaju tiada spare part,” katanya yang masih bujang dan menetap di tingkat enam.

Seorang lagi penduduk, Az­nor Hidayah Ahmad, 37, meng­gesa supaya kerosakan yang ber­laku dibaiki segera kerana me­reka telah membayar wang penyelenggaraan sebanyak RM105.60 sebulan sejak Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, penduduk meminta pemaju, Johor Land Berhad (JLand) untuk menyelesaikan masalah berbangkit khususnya melibatkan kerosakan yang berlaku agar tidak mencemarkan nama baik YSIJ dan juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ini kerana pelancaran RIBJ telah disempurnakan oleh Sultan Ibrahim dan majlis penyerahan surat tawaran turut disampaikan oleh baginda, manakala majlis penyerahan kunci disempurnakan Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Program RIBJ merupakan cetusan idea Sultan Ibrahim yang prihatin mengenai permintaan rakyat Johor untuk mendapatkan kediaman selesa pada harga mampu milik dan telah dilancarkan pada 22 Mac 2017 dengan lebih 350,000 orang membuat permohonan.

Sementara itu, pihak JohorLand ketika dihubungi Utusan Malaysia berjanji akan menyiasat segera dakwaan para penghuni pangsapuri berkenaan. Justeru, pihaknya tidak dapat memberikan ulasan lanjut tentang isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya