Pengawal keselamatan bawa pedang samurai ditahan - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan bawa pedang samurai ditahan

PENGAWAL keselamatan yang ditahan kerana membawa pedang samurai dalam keretanya di Sitiawan semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tindakan seorang pengawal keselamatan membawa pedang samurai dalam keretanya membawa padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sekitar pekan Sitiawan, kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Ketika melakukan rondaan, anggota tersebut melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Apabila diperiksa, polis menemukan sebatang sarung besi panjang dan sebilah pedang samurai dalam kereta jenis Honda Civic Ferio yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Nor Omar, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kes pergaduhan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pedang itu milik suspek yang sentiasa berada dalam keretanya dan digunakan sewaktu menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

Jelas beliau, ketika ditahan, suspek baru selesai minum dengan rakannya di sebuah kafe di Sitiawan.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya