KUALA SELANGOR: Seorang penganggur yang disyaki menekup kekasihnya dengan bantal sehingga mati di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang akan didakwa esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sudah mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pertuduhan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu.
“Lelaki yang sudah ditahan polis itu masih ditempatkan di lokap Klang. Pendakwaan ke atas suspek berkenaan akan dilakukan di Mahkamah Klang pada 4 Julai (esok),” katanya selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor di Taman Penggawa di sini, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan hubungan cinta seorang pelajar perempuan dengan penganggur berakhir dalam keadaan tragis apabila mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya sendiri, 26 Jun lalu.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku selepas mangsa berusia 16 tahun dibawa lelaki berusia 24 tahun ke rumah dengan menaiki Perodua Myvi.
Namun, insiden itu terbongkar apabila suspek mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa dari biliknya ke halaman rumah tersebut.
Arjunaidi berkata, motif sebenar kejadian mengenai punca suspek melakukan perbuatan ke atas mangsa masih dalam siasatan.
“Kita masih menyiasat dan tidak boleh mendedahkan motif itu kerana ia akan melibatkan kes di mahkamah nanti,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memaklumkan siasatan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapa mereka bercerai.
Suspek dan mangsa dipercayai telah bercinta selama setahun dan diketahui antara keluarga masing-masing.
Berdasarkan siasatan awal, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di bilik tidur serta lelaki itu juga pernah membawa mangsa ke rumahnya beberapa kali sebelum ini. – UTUSAN