MELAKA: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di rumah mereka di Paya Luboh, Tangga Batu dekat sini pada 5 Julai lalu.
Tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh ibunya, Roziah Md. Dom, 64, di sebuah rumah di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 2.30 petang hingga 3 petang, 5 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut dihadapkan dengan satu lagi pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya dan mengaku bersalah bagi kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang duda anak dua didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.35 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah, 6 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara.
Tertuduh juga diletakkan di bawah pengawasan pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh minimum dua tahun dan maksimum tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh dihadapkan dengan kesalahan membunuh.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 Ogos ini bagi serahan dokumen, laporan kimia dan bedah siasat mangsa serta saringan ujian air kencing tertuduh.
Terdahulu, Utusan Malaysia pada 5 Julai lalu melaporkan, tertuduh diberkas polis di kediamannya selepas dipercayai menikam ibunya sehingga mati menggunakan pisau pemotong sayur.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa yang merupakan pesara guru ditemui dengan kesan dua kesan tikaman di kanan dan kiri leher.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia terdengar bisikan halus memberitahu warga emas itu menyembah berhala sebelum menyerang mangsa di dalam bilik tidur. – UTUSAN