fbpx

Pemuda maut diseret, digilis Perodua Myvi

SEORANG pemuda maut digilis sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Jementah-Muar, Segamat.

SEGAMAT: Seorang pemuda maut digilis kereta Perodua Myvi di Kilometer 58, Jalan Jementah-Muar di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 40-an ditemukan sudah tidak bernyawa tersepit pada tayar bahagian belakang Perodua Myvi tersebut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu seorang warga emas berusia 80-an dalam perjalanan dari arah Jementah menghala ke Segamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang pemuda itu dipercayai keluar secara tiba-tiba ke laluan kereta berkenaan.

“Penunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kiri kereta tersebut sebelum terjatuh lalu terseret dan tersangkut pada tayar belakang,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jementah.

Pihak polis meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana Balai Polis Trafik Segamat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!