Pemohon RMR kecewa, rumah belum nampak bayang - Utusan Malaysia

Pemohon RMR kecewa, rumah belum nampak bayang

MUHD. Hanif Lewa menunjukkan tapak tanah bagi unit RMR di Kampung Tarun, Lenggeng, Seremban yang masih belum ada tanda akan dibina walaupun permohonannya telah diluluskan sejak tahun lalu. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permohonan rumah di bawah projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diluluskan hampir setahun lalu, namun sehingga kini belum ada tanda ia akan dibina.

Masalah itu dihadapi seorang juruteknik kilang, Muhd. Hanif Lewa, 34, dari Kampung Tarun, Lenggeng di sini yang sehingga kini masih tertanya-tanya bilakah rumah yang akan didirikan di atas tanah milik bapanya itu akan dibina.

“Saya telah mula membuat permohonan RMR ini sejak tahun 2016 dan akhirnya pada bulan September tahun lalu ia telah diluluskan. Bagaimanapun sehingga kini belum ada tanda-tanda bilakah rumah saya ini akan dibina, tapak rumah telah lama tersedia namun kontraktor masih belum tiba.

“Minggu lepas saya ada menelefon cawangan pejabat SPNB di sini namun mereka memaklumkan rumah saya masih belum dapat dibina kerana ketiadaan kontraktor untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Memang kecewa kerana masih belum rezeki untuk saya lagi memiliki rumah pertama, namun saya tetap berharap supaya kerajaan mencari jalan agar SPNB dapat segera membina rumah saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Muhd. Hanif, di kampungnya itu terdapat beberapa lagi projek RMR yang menghadapi isu serupa iaitu sama ada terbengkalai ataupun masih belum lagi dibina.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, beliau turut menerima banyak aduan berkenaan daripada pemohon RMR yang memaklumkan pembinaan projek rumah masing-masing kini tergendala dan tidak dapat disiapkan.

“Saya difahamkan, kontraktor yang terpilih untuk membina rumah-rumah berkenaan tidak dapat menyiapkannya ekoran peningkatan harga barang-barang binaan.

“Memang di Parlimen Seremban sendiri banyak pembinaan rumah yang terbengkalai ketika ekoran isu sama. Saya ada membawa perkara ini kepada pengetahuan pegawai-pegawai SPNB dan memohon kerajaan memandang serius kerana mempertimbang harga RMR berdasarkan harga binaan semasa,” katanya.

Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Menerusi projek tersebut, setiap unit RMR dibina pada harga di antara RM75,000 sehingga RM85,000 bergantung kepada keluasan tanah dan rekabentuk pemohon turut akan memperoleh subsidi sebanyak RM20,000 daripada kerajaan.

Pemohon juga boleh mendapat pinjaman menerusi pembiayaan yang disediakan oleh pihak SPNB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.