Pembuangan efluen punca Sungai Chandong berwarna merah

Pembuangan efluen punca Sungai Chandong berwarna merah

LUAS menemukan lokasi sumber air yang berwarna merah yang mengalir masuk ke Sungai Chandong berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang efluen ke dalam longkang mengakibatkan air Sungai Sungai Chandong di sini, menjadi merah semalam.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang segera mengambil tindakan lanjut selepas menerima maklumat awam yang tular di media sosial dan mendapati kejadian itu berlaku pada awal pagi serta terdapat aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, pemeriksaan yang dilakukan pada lewat petang mendapati keadaan aliran air sungai itu kembali normal berikutan air pasang.

“LUAS mengesan lokasi bermulanya efluen berwarna merah itu di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang. Cecair itu dipercayai mengalir masuk ke kawasan kolam tadahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seterusnya ke Sungai Chandong, jarak longkang ke lokasi pencemaran dianggarkan sejauh 1.32 kilometer (km).

“Hasil penelitian mendapati insiden itu akibat perbuatan pihak yang membuang bahan buangan ke dalam longkang. LUAS telah menjalankan pensampelan untuk analisis makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999. 

“Pemantauan menyeluruh akan dijalankan oleh semua pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara.

  “Kerajaan Selangor dan LUAS menyeru orang ramai supaya sentiasa melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN