Pembangkang mahu Johor laksana larangan lompat parti segera - Utusan Malaysia

Pembangkang mahu Johor laksana larangan lompat parti segera

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor perlu meminda segera Undang-Undang Tubuh Negeri bagi melaksanakan larangan lompat parti selari dengan keputusan yang dibuat kerajaan di peringkat pusat.

Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong berkata, langkah berkenaan membuktikan Malaysia telah memasuki ‘orde politik baharu’ iaitu parti hegemoni seperti UMNO juga memahami keperluan mewujudkan peraturan baharu untuk memelihara sistem demokrasi dan mandat rakyat.

Dakwanya, larangan sedemikian sebelum ini telah diperjuangkan veteran DAP, Lim Kit Siang sejak 1978.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Parlimen Khamis lalu hanya terpakai untuk Ahli Parlimen sahaja, manakala untuk menguatkuasakan larangan lompat parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing perlu dipinda.

“Saya mewakili blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menyeru Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi komitmen penuh bahawa kerajaan negeri akan memanggil sidang DUN secepat mungkin untuk meluluskan enakmen larangan lompat parti di peringkat negeri.

“Langkah itu dilihat bertujuan untuk menjayakan reformasi politik baharu yang telah dicapai secara sepakat oleh semua parti di peringkat Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) mengenai larangan lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga, iaitu 209 Ahli Parlimen menyokong, manakala 11 tidak hadir.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor memberitahu, blok pembangkang sedia menyokong cadangan pindaan enakmen tersebut untuk memperkukuh politik matang dan mempertahan amanah yang diberi rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO pusat berharap semua kerajaan negeri yang dikuasai parti tersebut meminda Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing bagi membolehkan RUU mengenai peruntukan larangan wakil rakyat bertukar parti dikuatkuasakan di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya