Pejuang lapor polis isu penyelesaian Jabatan Peguam Negara, firma guaman Jho Low - Utusan Malaysia

Pejuang lapor polis isu penyelesaian Jabatan Peguam Negara, firma guaman Jho Low

AKIF Rusli (dua kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama beberapa wakil Pejuang Shah Alam dekat Balai Polis Seksyen 9 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tampil membuat laporan polis mengenai isu penyelesaian antara Jabatan Peguam Negara dan firma guaman yang mewakili Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd.(1MDB).

Laporan itu dibuat Setiausaha Peguam parti berkenaan, Akif Rusli di Balai Polis Seksyen 9 di sini, kira-kira pukul 1.30 petang tadi susulan laporan akhbar pada 17 Julai lalu mengenai wujud usaha mengaturkan penyelesaian antara kedua-dua pihak terlibat.

Katanya, pertemuan itu kemudian disahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa ia sememangnya diuruskan oleh beliau sebagai orang tengah.

“Ia bertujuan memberi ruang kepada Jho Low untuk kononnya memulangkan semula wang 1MDB berjumlah RM1.5 billion berbanding keseluruhan pinjaman hampir RM40 billion. Setakat pengetahuan umum, Jho Low didakwa menyeleweng wang yang telah difailkan kira-kira RM15.85 billion,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu.

Jelas Akif, tujuan laporan polis itu dibuat kerana Mohamed Apandi dilihat mempunyai konflik berkepentingan dan pernah terlibat sebagai Peguam Negara yang mengendalikan kes skandal 1MDB pada 2015 hingga 2018.

“Beliau juga memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan terutama perundangan dan memilih untuk mengkhianati rakyat Malaysia dengan menutup rahsia Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Selain itu, beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Peguam Negara dengan sengaja tidak meneliti bukti jelas bahawa watak penderma Arab yang kononnya wujud adalah direka,” jelasnya.

Tambah beliau, Mohamed Apandi perlu disiasat atas kesalahan salah guna kuasa dan pengkhianatan kepada negara.

“Saya berharap polis dapat mengambil tindakan untuk menyiasat beliau atas kesemua perkara berkenaan. Tindakan sewajarnya perlu diambil demi kepentingan awam dan negara,” katanya.

Jho Low sebelum ini dilapor menawarkan RM1.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Laporan berkenaan kemudian dilapor semula oleh beberapa portal media  tawaran oleh ahli perniagaan itu yang dirunding melalui Mohamed Apandi, bagaimanapun telah ditolak.

Baru-baru ini, Mohamed Apandi menegaskan beliau bukan wakil Jho Low, sebaliknya telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) hujung Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya