JOHOR BAHRU: Pas disifatkan sebagai gila talak selepas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih mengulangi pendirian mahu meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) biar pun UMNO sudah buat keputusan muktamad untuk menolaknya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UMNO sudah lama terus bergerak daripada mengenangkan sejarah MN yang separuh jalan.
Beliau berkata, bukan setakat dasar dalaman UMNO dan Pas sahaja yang tidak sehaluan, malah dasar luar negara juga turut bercanggah.
“Dahulu Pas yang tergila-gilakan UMNO sampai Hadi merayu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk adakan hubungan dan mahu menubuhkan kerjasama politik, kononnya atas nama perpaduan ummah.
“Apabila UMNO dah setuju, lama-lama Pas buat hal. Lepas itu Pas masih tak dapat melupakan MN biarpun mereka sendiri yang mengkhianati hubungan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, Pas pernah dua kali ‘meminang’ UMNO semasa kedua-dua parti itu menjadi pembangkang dan ketika itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tengah gah sebagai kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Setelah UMNO membantu Muhyiddin jadi Perdana Menteri, beliau pula galak membeli pemimpin Pas dengan memberi pelbagai jawatan sampai Pas lupa diri dan menceraikan UMNO dengan talak tiga.
“Namun, apabila keadaan sudah berubah dan kedudukan Pas mula terumbang-ambing, mereka mencari semula UMNO. Saya pun pelik, kenapa Hadi dan Pas sebut pasal MN? Bukankah mereka sudah berbahagia selama ini dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)?,” soalnya.
Katanya, hubungan mesra dan erat antara Pas dan Bersatu juga yang menjadi punca Abdul Hadi sanggup mengkhianati dan berlaku curang terhadap MN.
“Mungkin juga hubungan Pas dan Bersatu sudah retak dalam PN sebab Bersatu banyak membelakangkan Pas dalam banyak hal. Sebab itulah Hadi kembali ‘rindu’ pada MN dan UMNO, mungkin Hadi mahu menjalinkan kembali hubungan Pas-UMNO yang terputus di tengah jalan.
“Nasihat saya kepada Hadi dan Pas, sudah-sudahlah tu nak ungkit kisah dan kenangan lama. Jangan diseret ahli-ahli Pas sekali dalam sandiwara politik murahan para pemimpin mereka. Orang dah tak ingin, janganlah duduk terhegeh-hegeh lagi,” ujarnya. – UTUSAN










