GEORGETOWN: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) tiga lagi kru bot warga Indonesia yang karam di perairan Pulau Pinang dipercayai sejak Rabu lalu, ditamatkan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, operasi itu ditamatkan malam tadi berikutan tiada penemuan baharu selepas tiga hari dijalankan.
Katanya, operasi dijalankan bermula pukul 7.30 pagi semalam itu dihentikan sepenuhnya selepas 12 jam operasi tersebut.
”Selama tiga hari operasi carilamat dijalankan, pihak kami telah memperluaskan pencarian sehingga 211.51 kilometer membabitkan aset-aset Maritim Malaysia. Operasi hari ketiga semalam tidak menunjukkan sebarang penemuan baharu seperti kru, mayat atau bot kayu yang dikatakan karam,” katanya di sini hari ini.
Maritim Malaysia melancarkan operasi carilamat Rabu lalu selepas seorang kru kapal yang merupakan lelaki warga Indonesia ditemukan di kedudukan 13.89 kilometer dari Sungai Kongsi, Balik Pulau dekat sini.
Mangsa, Aswin, 43, ditemukan terapung pukul 12.25 tengah hari oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia.
Mangsa kemudian memaklumkan botnya karam manakala empat lagi kru bersamanya hilang.
Kru kedua bot karam itu, Zulham Efendi Marwani, 31, ditemukan di pantai Pulau Kendi, dekat sini pada Jumaat lalu dan diselamatkan Maritim Malaysia serta diserahkan kepada Kedutaan Indonesia. – UTUSAN










