MARANG: Murid lelaki tahun tiga yang didakwa dicederakan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di sini sehingga patah kaki kanan pada minggu lalu masih trauma dengan kejadian tersebut.
Ibu murid tersebut yang tidak mahu dikenali berkata, dia kesal dengan perbuatan guru terlibat sehingga anaknya berusia sembilan tahun itu terpaksa menanggung kesakitan berikutan kecederaan dialaminya.
“Saya sedih dengan kejadian yang menimpa anak lelaki saya itu. Lebih mengecewakan perbuatan itu dilakukan oleh guru anak saya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan seorang murid lelaki tahun tiga mendakwa kaki kanannya patah akibat dihempas oleh seorang guru KAFA di sebuah sekolah di daerah ini pada 6 Julai lalu.
Sumber berkata, ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kecederaan dialami kaki kanan anaknya sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas tersebut pada pukul 5 petang.
Sementara itu, guru KAFA itu pula ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Selain itu, ibu murid itu berkata, dia juga menuntut keadilan buat anaknya yang cedera selepas guru tersebut didakwa menghempas tubuh anaknya ke atas kerusi
“Kami mahu pembelaan kerana anak saya amat trauma dengan insiden itu sehingga hari ini.
“Saya telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini pada 8 Julai lalu dan mengharapkan keadilan menerusi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










