JOHOR BAHRU: “Saya bertemunya dalam mimpi dan bertanyakan awak di mana? Semua orang cari awak. Arwah beritahu dia ada sini, dalam 26 hari bulan (hari ini) nanti saya baliklah.”
Demikian luahan Nurfaizah Mahadi, 25, tunang Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang rangkanya ditemukan dalam sebuah kenderaan di Sungai Api-Api, Pekan, Pahang, Sabtu lalu selepas dilaporkan hilang kira-kira 10 bulan lalu.
Dia tidak menyangka ‘bertemu’ tunangnya dalam mimpi buat kali kedua adalah petanda jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih, di sini awal pagi tadi.
Nurfaizah yang bekerja sebagai kerani bermimpi bertemu Allahyarham dua kali pada awal tahun ini dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangan tunangnya itu.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu, tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi hanya dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga. Saya bersyukur akhirnya Iman ditemukan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini awal pagi tadi.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai membantu mengesan abangnya itu.
Nurfaizah melahirkan rasa syukur kerana misteri kehilangan tunangnya hampir 10 bulan terjawap setelah kerap terbayangnya sebelum ini dan risau keadaan Allahyarham yang hilang sejak 29 Oktober lalu.
“Saya rasa bersyukur selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada. Ada kuburnya, saya bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu. Selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana? Dia makan ke atau tidak?,” ujarnya.
Pasangan tersebut sepatutnya melangsungkan pernikahan Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada hujung tahun lalu kerana bapa Nurfaizah meninggal dunia. – UTUSAN