Memang ada ganjaran sesiapa beri maklumat kes pencemaran alam

Memang ada ganjaran sesiapa beri maklumat kes pencemaran alam

TUAN Ibrahim Tuan Man melancarkan Portal Pekerjaan Hijau inisiatif MGTC di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air memang ada menyediakan insentif kepada individu yang tampil melaporkan kes pencemaran air sungai termasuk pelaku jenayah tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, tidak ramai yang tahu mengenai perkara itu dan menyebabkan penjenayah alam sekitar semakin berani bertindak.

“Kita ada menawarkan insentif khas kepada mereka yang membuat laporan lengkap ada bukti sehingga dapat ditangkap penjenayah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas melancarkan Portal Pekerjaan Hijau hasil inisiatif agensinya, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) yang diaktifkan sejak Oktober 2021.

Ia telah dibangunkan secara bersama antaranya dengan pihak Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial serta Persatuan Syarikat Perkhidmatan Hijau Se-Malaysia.

Pada 10 Jun lalu, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang meminta masyarakat agar berani melaporkan insiden pencemaran sungai malah identiti mereka dirahsiakan.

Individu terbabit bakal diberikan ganjaran sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi menggalakkan rakyat berani cakna dengan isu pencemaran air.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sokongan masyarakat amatlah dihargai, bahkan ada berjaya merakamkan gambar atau video yang kemudian dihantar terus kepada beliau sendiri.  

“Tolonglah segera maklum Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana kita perlu maklumat atau bukti dengan segera dan jika lambat, pelaku itu akan bebas selain lari supaya gagal dikesan,” jelasnya.

Menyentuh isu pencemaran Sungai Candong di Pulau Indah, Selangor apabila air bertukar menjadi warna merah, beliau mengesahkan sudah menerima laporan daripada JAS negeri itu.

Bagaimanapun ujarnya, siasatan awal agensi itu mendapati, ia bukan daripada mana-mana premis industri yang berdekatan tetapi mungkin dibuang agak jauh dari kawasan perkilangan.

Pelaku itu katanya, dipercayai mungkin membuang bahan kimia berwarna pada waktu tengah malam dan ketika hujan berlaku bagi mengelak dikesan serta bukti kegiatan mereka hilang.

Justeru tegasnya, JAS telah meminta bantuan pihak polis bagi menjejak penjenayah tersebut dan insiden di sungai berkenaan merupakan kali kedua dilaporkan namun kali ini agak teruk.

Ditanya perkembangan pindaan AKAS 1974, beliau optimis ia dapat dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen menjelang akhir tahun ini dengan hukuman dicadang yang lebih berat.

“Ia masih lagi diteliti Pejabat Peguam Negara melibatkan dua fasa dengan pertama aspek penalti, kompaun dan standard manakala kedua ialah elemen substantif dan tadbir urus,” katanya.

Ketika ini kata Tuan Ibrahim, pihak JAS sudah bertindak tegas membawa pelaku didakwa di mahkamah selain menyita peralatan atau menggantung jentera kilang yang menjadi punca kes.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 pada 5 Jun lalu mahu AKAS 1974 dipinda segera kerana didapati amat kurang tegas.

Ini termasuk cadangan denda maksimum dinaikkan kepada RM10 juta dan hukuman penjara mandatori kepada pelaku terutama pengilang yang didapati membuang bahan toksik di sungai. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN