PASIR PUTEH: Ibu tunggal yang maut dihempap besi daripada sebuah treler yang terbalik di persimpangan lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting, di sini, semalam baru selesai menyelesaikan urusan kad pengenalan anaknya sulungnya, Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa Yusni Hamid, 32, maut di lokasi akibat kecederaan parah.
Kemalangan itu turut menyebabkan Mohamad Shahrul Rizal putus kaki kanan.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa bersama anaknya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Kala, di sini selepas menyelesaikan urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Pasir Puteh.
Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang elektronik di Pulau Pinang mengambil peluang menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya itu selepas pulang menyambut Hari Aidiladha beberapa hari lalu.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Nor Raihan Mohamad Harami berkata, nahas itu turut membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota fortuner, sebuah lori muatan pasir, dua buah motosikal, sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah kereta Proton Saga, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan 21 buah basikal.
“Kami difahamkan treler yang sarat dengan muatan besi itu datang dari arah Jertih dan kemudian telah terbalik selepas masuk ke laluan kiri menghala ke Pasir Puteh Center di persimpangan lampu isyarat itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Tambahnya, susulan itu pengguna jalan raya lain yang sedang menunggu lampu isyarat turut menjadi mangsa limpahan batang besi.
Yang mengalami kecederaan ialah beberapa pengayuh basikal dari kelab basikal Ortho Hospital Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang sedang dalam perjalanan ke Tasik Kenyir, Terengganu bersama ahli Kelab Basikal Continator Malaysia.
Nor Raihan memberitahu, pasukan penyelamat mengambil masa satu jam 20 minit mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam limpahan batang besi yang dianggarkan berat kira-kira 30 kilogram sebatang.
Semetara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang masih dalam tindakan siasatan lanjut. – UTUSAN










