SEPANG: Cubaan seorang lelaki dari Pnom Penh, Kemboja membawa masuk 23 kilogram (kg) kayu cendana dianggarkan bernilai RM8,000 dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Ahad lalu.
Maqis Selangor berkata, kesemua kayu cendana tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira pukul 5.30 petang.
“Kayu cendana tersebut ditemui di dalam sebuah bagasi dan juga sebuah kotak berasingan yang dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Kesemua kayu cendana itu disita oleh pihak Maqis kerana tidak mempunyai permit import serta sijil Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Dalam Spesies Terancam (CITES),” katanya satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, tindakan mengimport hasilan pertanian tanpa permit yang sah daripada Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] serta boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau keduanya-duanya sekali.
“Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” tegasnya.- UTUSAN










