Malaysia teguh, komited heret dalang nahas MH17 - Utusan Malaysia

Malaysia teguh, komited heret dalang nahas MH17

KETUA Hakim, Hendrik Steenhuis memeriksa bangkai pesawat MH17 yang dibentuk semula di pangkalan tentera Gilze-Rijen, Belanda. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap teguh dan komited mencari kebenaran, menuntut keadilan dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke atas nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH17 akibat ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mereka yang bertanggungjawab itu perlu dihadapkan kepada prosiding jenayah yang bebas, terbuka dan telus terutama dalam pendakwaan kebangsaan di Belanda ketika ini.

Beliau berkata, Malaysia turut menggesa semua negara dan pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).

“Proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.

“Mencari kebenaran terhadap nahas yang berlaku akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, kerajaan mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang mangsa nahas penerbangan MH17.

Ka Siong berkata, walaupun tidak dapat mengembalikan mereka ke dunia ini, namun adalah penting untuk kerajaan meneruskan peranan dan memastikan insiden tragis seperti ini tidak akan berulang lagi.

“Sebagai tanda solidariti kami bersama waris, tragedi yang mengorbankan 298 nyawa penumpang dan anak kapal tersebut akan terus diingati.

“Pemergian mereka yang terkorban, begitu juga dengan ahli keluarga dan insan tersayang akan sentiasa kami iringi dengan doa,” katanya.

Esok adalah hari memperingati ulang tahun ke-8 tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 nyawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN