Malaysia bankrap jika tuntutan waris Sulu berjaya 

Malaysia bankrap jika tuntutan waris Sulu berjaya 

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung isu tuntutan waris kumpulan Sulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Malaysia berdepan risiko bankrap sekiranya tuntutan dibuat waris Kesultanan Sulu sebanyak RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) terhadap Sabah berjaya.

Justeru, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, pendekatan politik sempit tidak boleh diambil apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah, sebaliknya semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang perlu bersatu mendepaninya.

“Isu ini sekarang bukan isu meriam, senapang dan peluru. Ia kini sudah jadi isu perundangan antarabangsa dan ancaman waris Kesultanan Sulu adalah ugutan yang nyata, bukan diada-adakan. 

“Daripada isu wilayah berjiran, Malaysia dan Filipina, kini isu tuntutan tersebut telah menjadi isu global dan antarabangsa. Kedaulatan Malaysia sekarang sudah jadi buah mulut dan dijaja di tribunal timbang tara dan mahkamah antarabangsa di Eropah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh berhujah kepada dunia bahawa hal itu bukan kesalahan mereka dan hanya menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu.

“Begitu juga mantan-mantan Perdana Menteri dan menteri-menteri PH tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dan berkata hal itu kecuaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN yang terdahulu. 

“Undang-undang pentadbiran dalam Malaysia dan di pentas antarabangsa tidak beroperasi sedemikian. Tanggungjawab kerajaan Malaysia terhadap komitmen dalam negeri dan di peringkat antarabangsa adalah berterusan, tidak terhenti-henti. Apa juga keputusan yang dibuat atau yang ditinggalkan dari dibuat (omission), dipikul kesannya oleh kerajaan-kerajaaan yang berikutnya,” tegasnya.

HASSAN ABDUL KARIM

Menurutnya, tindakan menyalahkan bekas Perdana Menteri tidak akan membantu usaha Malaysia mencabar keputusan tribunal timbang tara di Mahkamah Perancis.

“Begitu juga bagi golongan yang anti-PH yang berusaha menyalahkan Peguam Negara kerajaan PH, Tommy Thomas kerana mengirim surat kepada peguam waris Kesultanan Sulu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kesahihan tuntutan Kesultanan Sulu.

“Mungkin juga ada asasnya sama seperti ada asasnya menyalahkan Najib Razak kerana memberhentikan pembayaran kepada Waris Kesultanan Sulu pada tahun 2013 selepas berlakunya pencerobohan di Timur Sabah oleh tentera waris Kesultanan Sulu. Jika ada laporan polis hendak dibuat terhadap Tommy Thomas dan Najib Razak boleh sahaja dilakukan,” katanya sambil berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinetnya perlu memikul tanggungjawab di barisan hadapan untuk menghadapi tuntutan tersebut di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berharap Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara membenarkan sebarang usul tuntutan itu dibahaskan di kedua-dua institusi penggubal undang-undang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya